'MARC Marquez Bukan Lagi Alien, Dah Tak Menakutkan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/10/20241 min read
REPUTASI besar Marc Marquez di MotoGP memang mampu mencetus gerun ramai pencabarnya namun juara dunia lapan kali itu tidak lagi dilihat sebagai 'alien' oleh pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio.
Selepas bertahun-tahun bergelut bersama Honda, Marquez menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing musim ini dan dia tak memerlukan masa panjang untuk menjadi pencabar podium selepas hanya empat pusingan.
Bergelar pelumba terbaik Ducati menggunakan jentera GP23, Marquez dijangka akan lebih 'agresif' Le Mans apabila berkata akan memburu kemenangan pertamanya bersama pengeluar Itali itu.
Tetapi bagi Di Giannantonio, yang juga menunggang Ducati GP23 menegaskan Marquez tidak lagi memberi ketakutan kepada pencabarnya ketika ini.
"Ya, ia sentiasa Marc dengan gaya tunggangannya," kata Di Giannantonio memetik laporan Motosprint. "Dia memasuki selekoh dengan amat yakin, dia juga amat agresif. Dia menunggang dengan amat baik dan pergi amat laju.
"Saya fikir saya berada di tahap yang terbaik dan mungkin pada debut saya di MotoGP saya melihatnya agak jauh, kini saya tidak lagi melihatnya sebagai 'alien'.
"Jelas saya memiliki rasa hormat yang besar kepadanya kerana dia adalah juara dan apabila dia berlumba, dia mempunyai magis, tetapi saya tidak melihatnya sebagai tak boleh dikawal.
"Saya melihatnya sebagai lawan dan apabila saya mengkaji mengenai dirinya saya tidak melihat sebarang perbezaan yang besar."
Tetapi ironinya, Di Giannantonio adalah pelumba yang disingkirkan oleh Gresini untuk memberi laluan kepada Marquez musim lalu sebelum diberikan 'talian hayat' oleh VR46.