MARC Marquez Bukan Punca Ducati 'Hilang' Martin, Bastianini, Bez, Pramac
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/2/20241 min read
DUCATI kehilangan beberapa 'asetnya' bermula dengan Jorge Martin, Enea Bastianini, Marco Bezzecchi diikuti pengumuman Pramac Racing mengubah selera menyertai Yamaha bagi kempen MotoGP musim depan.
Segalanya berlaku selepas Grand Prix Itali 2024 di Mugello berakhir, lokasi yang menyaksikan juara dunia lapan kali, Marc Marquez memenangi 'pertarungan' ke pasukan 'kilang' Ducati Lenovo.
Martin seperti diketahui akan menyertai pasukan 'kilang' Aprilia bersama Bezzecchi manakala Bastianini bertindak menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 KTM.
Berdasarkan perancangan awal Ducati Corse, Pramac yang memang tahu akan hilang khidmat Martin pada musim depan akan menyenaraikan Marquez tetapi ia ditolak pelumba kelahiran Sepanyol itu.
Bakal menyenaraikan enam pelumba dalam kempen MotoGP musim depan dengan hanya tiga posisi sudah dilengkapkan setakat ini, Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menafikan Marquez adalah 'punca' kepada apa yang terjadi kepada pengeluar Itali itu.
"Ia bukan salah Marc Marquez atas apa juga yang berlaku," kata Dall’Igna memetik laporan Crash.net.
"Realitinya adalah kami menghasilkan banyak pelumba, banyak pelumba-pelumba yang bagus dan banyak juara dan pada akhirnya kami tidak boleh terus bekerja dengan mereka pada masa depan kerana mereka perlu mencari tempat lain di mana mereka boleh mendapatkan jentera terbaik untuk mereka.
"Kami memulakan sekali lagi era baharu kerana pada tahun depan kami akan memiliki (Fermin) Aldeguer bersama kami.
"Kami akan memulakan sekali lagi dengan pelumba muda untuk membangunkan mereka dan mencari juara pada masa depan."
Selepas kehilangan Pramac, Ducati juga masih belum tahu untuk menyenaraikan Aldeguer sama ada bersama Gresini atau VR46 namun menurut Dall’Igna, keputusannya akan diumumkan tidak lagi lagi.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Martin menyertai Aprilia, Dall’Igna berkata: "Aneh untuk bercakap mengenainya. Kami bercakap selama empat tahun sambil mengetahui dia kami akan meneruskan kerjasama untuk tahun depan.
"Ia aneh tetapi apapun, saya akan terus menyokongnya dan memberikan segala-gala informasi untuk dia cuba dan melakukan kerjanya. Dia adalah pelumba Ducati sehingga penghujung tahun jadi kami mahukan yang terbaik daripadanya."