MARC Marquez Cipta Magis Di Sachsenring, Ducati Dominasi Podium

Kemenangan itu adalah yang ke-19 perlumbaan Sprint dalam kerjaya Marc Marquez dan ia hadir selepas dia menampilkan aksi cemerlang meraih petak utama berserta rekod pusingan baharu buat kali ke-9 di Sachsenring

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/11/20261 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez membuktikan kejaguhannya di litar yang memberikannya gelaran 'Raja' iaitu Sachsenring apabila menjuarai perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Jerman, hari ini.

Juara dunia 9 kali itu mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menangkis asakan sengit adiknya, Alex Marquez (Gresini Ducati) dan pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio bagi melengkapkan penguasaan podium 1-2-3 buat jentera pengeluar Itali berkenaan.

Kemenangan itu adalah yang ke-19 perlumbaan Sprint dalam kerjaya Marc dan ia hadir selepas dia menampilkan aksi cemerlang meraih petak mula utama berserta rekod pusingan baharu buat kali kesembilan di litar berkenaan.

Walaupun mendahului saingan sejak awal perlumbaan, Marquez mengakui ia bukan tugas mudah apabila terpaksa berdepan tekanan berterusan daripada Alex dan Di Giannantonio sepanjang 15 pusingan.

Bagaimanapun kekal bertenang menjadi ramuan sebelum dia melintasi garisan penamat dengan kelebihan 0.368 saat (s) di hadapan Alex dan merapatkan jurang mata kejuaraannya kepada 32 mata.

Sementara itu, pendahulu kejuaraan, Jorge Martin yang menunggang jentera pasukan kilang Aprilia menamatkan saingan di kedudukan keenam untuk melebarkan kelebihan kepada 11 mata secara keseluruhan selepas rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi terpaksa melupakan perlumbaan akibat kecederaan tulang selangka susulan kemalangan pada sesi kelayakan.

Dalam pada itu, pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura yang pada mulanya memberi saingan sengit di kelompok hadapan terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keempat, diekori rakan sepasukannya, Raul Fernandez di kedudukan kelima.

Pelumba pasukan kilang Ducati, Francesco Bagnaia yang bermula dari petak ke-11 berjaya bangkit menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7, mendahului bintang sensasi KTM, Pedro Acosta di tempat ke-8.

Pelumba pasukan Yamaha, Fabio Quartararo mengutip mata terakhir di tempat ke-9.