SELEPAS merangkul kemenangan di Aragon diikuti Misano, dua minggu lalu, pelumba Gresini Ducati, Marc Marquez menjelaskan 'KPI' yang diletakkannya pada musim ini sudah dilunaskan.
Juara dunia lapan kali itu bertindak meninggalkan pasukan 'kilang' Honda dan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing dalam usaha untuk menilai sama ada dia masih kompetitif memberi saingan.
Tetapi disebalik 'kekurangan' menggunakan jentera spesifikasi 'purba' Ducati GP23 dan perlu mendapatkan keserasian, pelumba Sepanyol itu tampak tidak bermasalah untuk memberi cabaran malah berjaya menjuarai perlumbaan.
Lebih menarik, juara dunia MotoGP enam kali itu turut dilabel berpotensi merebut gelaran dunia. Dia ketika ini hanya dibezakan 53 mata daripada pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati yang menunggang jentera spesifikasi terkini Ducati GP24.
"Kami menunggang dengan lebih baik berbanding beberapa perlumbaan sebelum ini, terutama sejak di Red Bull Ring, di mana kami membuat satu langkah ke depan," kata Marquez memetik laporan Crash.net.
"Tetapi ia masih belum mencukupi dan mereka (Martin dan Francesco Bagnaia) lebih laju dan saya perlu memperbaiki beberapa perkara.
"Tetapi bagi saya, perkara paling utama adalah kami sudah mencapai segala sasaran saya pada tahun ini, jadi jika sesuatu (mencabar kejuaraan) hadir, ia amat dialu-alukan tetapi saya hanya cuba untuk menikmatinya dan mengekalkan tahap ini sehingga penghujung musim dan bersedia untuk 2025."
Ketika ditanya sama ada kejayaan di Misano mampu diulang pada perlumbaan kedua di gelanggang sama minggu ini, Marquez seperti kebiasaan tidak meletakkan harapan tinggi.
"Satu perkara yang paling penting untuk kami adalah ketika sesi latihan, yang akan membantu kami memahami trek lumba, dan ia adalah litar yang sama dengan keadaan lebih sejuk, jadi ayuh lihat apa yang kami boleh lakukan," kata Marquez.
"Ahad lepas amat bagus, terutama pada babak kedua perlumbaan kerana saya merasa amat selesa, dan ia memberikan saya banyak keyakinan. Dan juga ujian pada Isnin. Jadi ayuh lihat jika kami boleh lakukan perkara yang sama."