BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menjadi antara individu paling gembira di Grand Prix Australia 2024 yang menyaksikan Ducati membolot enam kedudukan teratas dengan Marc Marquez muncul sebagai pemenang.
Kemenangan ketiga pelumba Gresini Ducati, Marquez musim ini itu menyaksikan Ducati sudah menjuarai 16 daripada 17 perlumbaan MotoGP yang berlangsung bagi kempen 2024 berbaki tiga pusingan di Thailand, Malaysia dan Valencia.
Dan kejayaan yang dilakar pengeluar Itali itu diakui Dall’Igna yang juga Pengurus Besar Ducati Corse sebagai kepuasan buatnya.
"Kemenangan ke-16 musim ini! Enam daripada jentera kami berada di kedudukan teratas, satu lagi sejarah untuk diraikan bersama," kata Dall’Igna memetik laporan Motociclismo.
Dall’Igna dalam pada itu turut menghamburkan pujian kepada Marquez.
"Marc Marquez yang menakjubkan meraih kemenangan ketiganya pada 2024, kejayaan untuk mengesahkan, dan jika diperlukan, bahawa dia sudah berada di sana, kembali ke puncak MotoGP," kata Dall’Igna.
"Dan dia melakukannya dengan caranya tersendiri menerusi kebangkitan yang sukar dipercayai dan tanpa sebarang amaran, menghampiri pelumba yang memimpin perlumbaan dan kemudian melakukan pertarungan yang sengit dengan (Jorge) Martin.
"Benar-benar kerja yang sempurna pada litar yang cukup sesuai dengannya. Dia melakukannya dengan sebaik mungkin apabila mula menghidu kemenangan boleh dicapai dan memberikan segala-galanya. Sukar dihalang."
Kemenangan di Phillip Island menyaksikan Marquez menjarakkan kedudukan di tangga ketiga keseluruhan dengan pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini kepada 14 mata.