MARC Marquez Dedah 5 Pelumba MotoGP Terbaik Dalam Senarainya, Vale Pun Ada!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/3/20241 min read


JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez menamakan 5 pelumba MotoGP terbaik dalam senarainya dan menariknya, ia termasuk legenda yang dianggap sebagai 'musuh' iaitu Valentino Rossi.
Daripada 5 pelumba berkenaan, hanya dua pelumba berjaya menjuarai gelaran dunia dalam kelas elit lebih daripada Marquez yang ketika ini sudah menjulang enam gelaran.
"Saya tidak akan sesekali meletakkan nama saya dalam senarai ini," kata Marquez memetik laporan Gazzetta selepas muncul dalam salah satu program bual bicara di Sepanyol.
"Saya boleh kata Giacomo Agostini, Angel Nieto, Mick Doohan, Jorge Lorenzo dan Valentino Rossi."
Legenda Itali, Agostini memiliki 15 gelaran dunia dan lapan daripadanya diperoleh dalam kelas elit dan dimenanginya bersama MV Agusta dan Yamaha di antara musim 1966 hingga 1975.
Nieto pula memenangi 13 gelaran dan terbanyak buat pelumba Sepanyol.
Legenda Australia, Doohan memiliki 5 gelaran dalam kelas elit dengan Lorenzo memiliki dua gelaran dunia MotoGP.
Sementara itu, Rossi memiliki tujuh gelaran dunia dalam kelas utama dan sembilan secara keseluruhan.
Marquez pada musim depan berpeluang untuk mencabar semula rekod yang dimiliki legenda Itali itu selepas menyertai pasukan terbaik, Ducati Lenovo dan ironinya bergandingan dengan anak didik Rossi Francesco Bagnaia.
