MARC Marquez Dedah Hilang Kawalan Lengan Kanan
Jaguh Ducati Lenovo, Marc Marquez mengharapkan lengannya akan semakin pulih selepas rehat musim panas, namun sebaliknya dia terpaksa mengharungi hujung minggu terburuk sejak menjalani pembedahan bagi melegakan sarafnya pada Mei lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/13/20261 min read


PELUMBA bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez mendedahkan perkembangan membimbangkan mengenai keadaan fizikalnya apabila mengakui hilang kawalan terhadap lengan kanannya pada perlumbaan Grand Prix (GP) British 2026, minggu lalu.
Pelumba Sepanyol itu pada asalnya mengharapkan lengannya akan semakin pulih selepas rehat musim panas, namun sebaliknya dia terpaksa mengharungi hujung minggu terburuk sejak menjalani pembedahan bagi melegakan saraf pada Mei lalu.
Menerusi rakaman video terbaharu di saluran YouTube 'Inside Ducati', Marquez dilihat memberi penjelasan yang suram kepada krew pasukannya sejurus menamatkan perlumbaan utama di kedudukan ke-7.
"Hari ini (Ahad) keadaan tayar adalah lebih baik, tetapi secara fizikal saya tidak berdaya. Saya berisiko untuk terjatuh dan hilang kawalan pada lengan kanan, malah jentera saya hampir tergelincir di Selekoh 1 dan 9," kata Marquez yang sebelum itu turut bergelut dengan masalah degradasi tayar belakang melampau pada aksi Sprint.
Pada perlumbaan yang menyaksikan pelumba Aprilia mendominasi pentas podium, Marquez sekadar menjadi penunggang ketiga terbaik Ducati apabila menamatkan saingan di belakang adiknya, Alex Marquez (Gresini Ducati) dan pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio.
Keputusan hambar di Litar Silverstone itu nyata memberikan tamparan hebat buat kempen kejuaraannya, menyaksikan dia kini semakin jauh tercicir dengan perbezaan 40 mata di belakang pendahulu kedudukan keseluruhan, Jorge Martin dari Aprilia.

