MARC Marquez menamatkan kemarau kemenangannya yang berlarutan hampir tiga tahun selepas menakluk Grand Prix (GP) Aragon, minggu lalu - kejayaan yang digambarkan juara dunia lapan kali itu sebagai 'sempurna'.
Pelumba Gresini Ducati itu menguasai ketiga-tiga sesi latihan, merangkul petak utama dengan kelebihan 0.8 saat dan memenangi Perlumbaan Sprint dengan kelebihan lebih 5 saat di depan Jorge Martin.
Dan dominasi itu berterusan pada perlumbaan utama atau GP yang menjadi kemenangan ke-60 dalam kariernya selain pertama bersama jentera yang baru ditunggangnya musim ini, Ducati.
"Saya meletakkan tekanan kepada diri saya," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Seperti yang kamu lihat ketika Perlumbaan Sprint, saya tidak menikmatinya kerana saya tahu hari perlumbaan adalah paling utama dan saya tahu saya mempunyai peluang.
"Jadi kerana itu, saya cuba untuk fokus. Apabila kamu mempunyai kelajuan, kemudian seperti nampaknya kamu boleh menguruskan situasinya, kamu konsisten, bijak, tetapi kamu masih sama, dan jika kamu tidak mempunyai kelajuan ia amat sukar untuk menguruskan situasi.
"Jadi, kerana itu kami lihat sama ada kami mempunyai kelajuan yang lebih baik pada perlumbaan berikutnya dan cuba untuk merapatkan jurang dengan pelumba-pelumba di depan."
Satu-satunya sesi yang tidak dikuasai oleh pelumba berusia 32 tahun itu di Aragon adalah ketika pemanas badan dan menariknya dia langsung tidak menyertai sesi itu susulan keadaan litar yang lembap susulan hujan.
"Ia minggu yang sempurna," kata Marquez. "Kami mendahului semua sesi, hanya ketika sesi pemanas badan sejujurnya saya memutuskan bersama pasukan untuk kekal di dalam garaj.
"Ketika perlumbaan, perasaan yang kami ada adalah menakjubkan sejak awal," katanya.
"Ia adalah perlumbaan yang amat panjang, sukar untuk mengawal emosi pada beberapa pusingan terakhir, tetapi apabila saya melepasi garisan penamat saya rasa seperti saya kehilangan 3 ke 4 kg.
"Kerana belakang saya, setiap kali ini menjadi berat dan semakin berat, dan meraih kemenangan ini adalah menakjubkan, dan saya dengan pantas mula memikirkan segala proses yang kami lakukan, semua orang di sekeliling saya, semua keluarga saya, teman wanita, adik saya (Alex Marquez).
"Mereka banyak membantu saya, terutama pasukan Gresini yang memberikan saya peluang. Saya tiba sebagai pelumba 'Rookie', cuba untuk memberikan segala-galanya dan kami melakukannya.
"Kami mengambil satu lagi sasaran dan kini meneruskannya," kata Marquez yang menyifatkan kejayaannya di Aragon memberi emosi yang sama seperti kemenangan terakhirnya bersama Repsol Honda di Jerman pada 2021.