'MARC Marquez Di Kelas Berbeza'
Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez tampil dengan prestasi yang luar biasa pada kempen MotoGP musim ini selepas mencatat kemenangan pertamanya di Red Bull Ring dan melanjutkan rekod kemenangan kepada 12 berturut-turut
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/21/20251 min read


Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez, mengakui bahawa abangnya, Marc Marquez berada di kelas yang tersendiri dalam kempen MotoGP musim ini.
Marc yang juga pelumba Ducati Lenovo tampil dengan prestasi yang luar biasa selepas mencatat kemenangan pertamanya di Red Bull Ring dan melanjutkan rekod kemenangan kepada 12 berturut-turut.
Kejayaan itu menyaksikannya kini memiliki kelebihan besar 142 mata dalam carta kejuaraan meninggalkan Alex di tangga kedua dan menghampiri gelaran dunia MotoGP ke-7 miliknya.
"Marc berada di tahap yang berbeza sekarang. Berbanding permulaan musim, dia sudah naik satu lagi tangga dari segi gaya tunggangannya," kata Alex memetik laporan Crash.net.
"Kami ada kelebihan pada awal tahun kerana pra-musim seperti biasa. Tapi sekarang mereka sudah kawal keadaan dan mula memperkenalkan kemas kini, jadi mereka kembali ada kelebihan," kata Alex yang menamatkan perlumbaan di Austria di tempat ke-10 selepas terpaksa mengharungi penalti 'long lap' akibat insiden di Brno sebelum ini.
Dan tanpa penalti itu, pelumba kelahiran Sepanyol itu percaya dia mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 sekali gus merapatkan jurang dengan abangnya.
"Saya pilih untuk habiskan perlumbaan dengan tenang dan mengelak daripada melakukan kesilapan lagi," kata Alex.
Selepas 13 pusingan, Marc ketika ini mengumpul 418 mata diikuti Alex 276 mata dan Bagnaia di tempat ketiga dengan 221 mata.
