MARC Marquez Dominasi Hari Pertama Di COTA

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/29/20251 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez terus 'mengganas' apabila mendominasi hari pertama sesi ujian bebas Grand Prix (GP) Amerika Syarikat yang berlangsung dalam keadaan litar basah dan separa kering di Austin.

Selepas sesi latihan bebas 1 berlangsung sepenuhnya dalam keadaan litar basah yang dikuasai Franco Morbidelli dari VR46 Ducati, hujan kemudian berhenti dengan litar mulai kering menuju sesi kedua.

Sekalipun permulaan ujian dijalankan menggunakan tayar khas untuk litar basah, tayar jenis 'slick' kemudian digunakan selepas 20 minit ujian berlangsung yang menyaksikan Marquez mula menunjukkan belangnya.

Pendahulu kejuaraan yang juga juara tujuh kali di Austin itu melakukan catatan terpantas 2 minit 2.929 saat (s), 0.736s lebih pantas daripada pelumba di kedudukan kedua terpantas Fabio Di Giannantonio juga dari VR46.

Morbidelli turut menampilkan prestasi baik apabila melakukan catatan ke-3 terpantas.

Duo pasukan Gresini Ducati, Alex Marquez dan Fermin Aldeguer masing-masing melakukan catatan ke-4 dan ke-5 terpantas.

Pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller turut memperoleh tiket terus ke Kelayakan 2 (Q2) apabila melakukan catatan ke-6 terpantas diikuti pelumba terbaik KTM, Pedro Acosta.

Pemenang di Austin musim lalu, Maverick Vinales dari pasukan Red Bull KTM Tech3 turut memperoleh sesi yang baik apabila melakukan catatan ke-8 terpantas diikuti pelumba terpantas daripada Honda, Joan Mir.

Dalam paada itu, situasi kurang mengujakan berlaku kepada rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia yang sekadar melakukan catatan ke-10 terpantas yang juga kedudukan terakhir untuk layak terus ke Q2.