MARC Marquez Fokus Tak Buat Silap Di COTA
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/26/20251 min read


SELEPAS mengharungi dua pusingan yang 'sempurna', segenap mata peminat MotoGP seluruh dunia pasti tertumpu kepada Marc Marquez menjelang Pusingan 3 MotoGP di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat hujung minggu ini.
Sebagai pelumba yang dianggap 'pakar' di Circuit of the Americas (COTA) dengan rekod tujuh kemenangan MotoGP serta permulaan sempurna musim ini, pelumba kelahiran Sepanyol itu dilihat sebagai calon untuk menang.
Juara dunia lapan kali itu sebelum ini berjaya menjadi pelumba termuda di MotoGP menjuarai perlumbaan MotoGP pada penganjuran pertama di kejuaraan itu di Austin pada 2013.
Dan 12 tahun kemudian, Marquez kembali ke litar sama dalam usaha merangkul satu lagi sejarah iaitu menjadi pelumba tertua berjaya menang dalam era MotoGP moden.
Untuk rekod, Marquez akan memulakan minggu ini dengan kelebihan 16 mata di puncak carta kejuaraan di depan adiknya, Alex Marquez dan pelumba berusia 32 tahun itu bertekad untuk tidak melakukan kesilapan.
"Kami tiba di Austin selepas dua minggu yang secara praktikalnya sempurna, terutama yang pertama di Thailand," kata Marquez memetik laporan Crash.net.
"COTA adalah litar di mana saya sentiasa dapat menjadi laju, malah pada tahun lalu ketika saya pertama kali di sini bersama Ducati.
"Trek yang amat menuntut dan dari sudut tunggangan juga di mana saya dapat memenanginya banyak kali.
"Kami perlu kekal fokus, tidak melakukan kesilapan, mengambil kira perincian dan kerja keras bersama keseluruhan pasukan dan menjadi kompetitif.
Selepas menang pada 2013, Marquez berjaya memenangi lima lagi perlumbaan di Austin secara berturut-turut sehingga 2018 sebelum kembali memenanginya pada 2021 ketika bersama Honda.
Pada 2019, Marquez tidak berjaya menamatkan perlumbaan di COTA selepas mengalami kemalangan manakala pada 2020, perlumbaan di COTA dibatalkan susulan Covid-19.
Sekalipun berdepan kepayahan, Marquez berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 pada edisi 2022 sebelum terlepas perlumbaan pada 2023 selepas menjadi proses pemulihan akibat kemalangan.
