MARC Marquez Gah Tamat 'Kemarau' Di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20242 min read

MARC Marquez membuktikan 'bisanya' masih menyengat dan kemenangan bukan sesuatu yang mustahil apabila menjuarai Perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Aragon 2024 dan menariknya, dilakukan dengan penuh dominan.

Kejayaan di Aragon, Sepanyol itu turut menyaksikan juara dunia lapan kali itu menamatkan 'kemarau' kemenangan yang sudah berlarutan lebih 1,000 hari selain kemenangan pertamanya bersama jentera Ducati.

Lebih menarik, ia adalah kemenangan berganda buat pelumba pasukan Gresini Ducati itu yang turut berjaya menakluk Perlumbaan Sprint, semalam.

Selepas menguasai sesi saingan sejak sesi latihan pertama di Aragon yang dianggap sebagai gelanggang sendiri, Marquez tampak tidak lagi mahu menoleh ke belakang selepas memulakan perlumbaan di petak utama.

Dan seperti aksi Sprint, Marquez memimpin perlumbaan daripada awal hingga garisan penamat dan melepasi garisan penamat hampir lima saat di depan pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin.

Selain Martin yang turut menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat kedua, kedudukan terakhir juga diisi pelumba sama iaitu Pedro Acosta dari pasukan GasGas Tech3.

Marquez dalam pada itu turut berpeluang untuk berkongsi podium bersama adiknya, Alex Marquez namun rakan sepasukannya itu mengalami kemalangan bersama pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia.

Insiden mengerikan itu yang berlaku ketika perlumbaan berbaki lima pusingan turut menjadi antara sebab Acosta sekali lagi ke podium.

Kegagalan Bagnaia untuk menamatkan perlumbaan ditambah dengan tempat kedua diraih Martin menyaksikan pelumba Sepanyol itu kini memiliki kelebihan 23 mata di kedudukan teratas carta pelumba.

Manakala Marquez kembali ke tangga ketiga carta pelumba selepas merampas kedudukan itu daripada rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-5.

Sementara itu, pelumba terbaik daripada pengeluar Jepun berjaya dicatatkan oleh pelumba Monster Yamaha, Alex Rins di tangga ke-9 manakala pelumba terbaik Honda sekali lagi diraih Takaaki Nakagami (LCR Honda).

Selain Alex dan Bagnaia, turut terjatuh di Aragon adalah Fabio Quartararo (Monster Yamaha) dan Miguel Oliveira (Trackhouse Aprilia) manakala pelumba Aprilia, Maverick Vinales tidak menamatkan perlumbaan susulan masalah jentera.

Keputusan MotoGP GP Aragon 2024

  1. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), 41m 47.082s

  2. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +4.789s

  3. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +14.904s

  4. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +16.459s

  5. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +18.776s

  6. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +20.549s

  7. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +24.759s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +37.159s

  9. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +39.420s

  10. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +40.602s

  11. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +41.782s

  12. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +42.083s

  13. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +43.264s

  14. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +49.735s

  15. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +55.966s

  16. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +1m 13.322s

  17. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +1m 52.386s

Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), DNF

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), DNF

Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), DNF

Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF

Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), DNF