MARC Marquez Garang Hari Pertama GP Malaysia 2026
Kemalangan pada awal sesi Latihan juga langsung tidak mematahkan semangat penyandang juara dunia MotoGP, Marc Marquez untuk mencatatkan masa terpantas sekali gus mengetuai senarai 10 pelumba layak terus ke Kelayakan 2 (Q2)
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/30/20261 min read
BINTANG Ducati Lenovo, Marc Marquez melaungkan amaran awal mengenai keinginannya terus berada di puncak carta kejuaraan MotoGP 2026 apabila mengungguli hari pertama Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Malah, kemalangan pada awal sesi Latihan langsung tidak mematahkan semangat penyandang juara dunia MotoGP itu untuk mencatatkan masa terpantas sekali gus mengetuai senarai 10 pelumba layak terus ke Kelayakan 2 (Q2).
Terdahulu pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1), pelumba kelahiran Sepanyol itu turut mencatatkan masa terpantas 1:58.912s.
Pada sesi Latihan, Marquez selepas terjatuh di selekoh 15 berjaya bangkit dan membawa semula jenteranya ke hentian pit dan dia kemudian meneruskan sesi dan merekodkan masa pantas 1 minit 57 saat (s).
Alex Marquez (Gresini Racing) mencatatkan masa ke-2 terpantas, ketinggalan hanya 0.109s, manakala pelumba SuperFile Trackhouse Aprilia, Ai Ogura mencatatkan masa ke-3 terpantas, ketinggalan (+0.167s).
Bagi Martin, situasi yang melandanya pasti memberinya keresahan apabila pelumba yang hanya ketinggalan 10 mata di belakang Marquez dalam carta kejuaraan itu terpaksa bergelut dengan kesakitan.
Menunggang dalam keadaan pergelangan tangan kanan yang retak akibat kemalangan perlumbaan Sprint di Phillip Island minggu lalu, Martin hanya mampu melengkapkan kurang daripada 5 pusingan semalam.
Sementara itu, Pedro Acosta (Red Bull KTM) mencatatkan masa ke-4 terpantas diikuti Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati), Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) dan Enea Bastianini melakukan catatan ke-7 terpantas.
Pelumba Sepanyol, Maverick Vinales dalam pada itu mencipta kejutan apabila mara ke Q2 diikuti Franco Morbidelli (VR46 Ducati) dengan pelumba Honda HRC, Joan Mir melengkapkan senarai 10 pelumba layak terus Q2.

