MARC Marquez 'Gembira' Dengan Gaji Di Gresini Ducati

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/27/20231 min read

SEMUA tahu Marc Marquez adalah pelumba yang menerima gaji tertinggi di grid MotoGP ketika ini yang menyaksikan perpindahannya dari Repsol Honda ke pasukan satelit Ducati, Gresini mencetus pelbagai spekulasi.

Dijangka kehilangan imbuhan besar bernilai jutaan euro susulan tindakannya, Marquez dalam satu temuramah eksklusif bersama Crash.net menjelaskan wang bukanlah keutamaannya ketika ini.

Menurut laporan, pelumba bintang kelahiran Sepanyol itu dikatakan memperoleh sekitar 12 juta euro (RM 60.5 juta) semusim di Repsol Honda namun dia tampak tidak mengeluh.

"Kadang kala dalam kehidupan kamu, tetapi dalam karier saya, keutamaan adalah prestasi tunggangan. Bukannya duit," kata Marquez kepada Crash.net di Buriram.

"Duit sentiasa penting. Dan jika seseorang berkata ia tidak, mereka berbohong. Tetapi kadang kala kamu perlu mempercayai diri kamu dan ikut apa yang kamu rasa.

"Dalam karier saya, apa yang menjadi keutamaan, termasuk gaya hidup saya di rumah dan di sini di litar, adalah untuk cuba memberikan prestasi terbaik di atas litar.

"Benar saya saya memperoleh gaji paling besar di MotoGP tetapi saya gembira dengan apa yang saya dapat tahun depan."

Selain itu, Marquez turut menafikan yang dia berlumba secara percuma di Gresini Ducati, seperti yang didakwa segelintir pihak.

"Tak, ia tidak benar. Saya tidak akan pergi (dedahkan perincian) mengenai aspek itu kerana, seperti yang kamu tahu, tiada siapa yang benar-benar tahu gaji saya ketima ini di Honda. Tiada siapa tahu.

"Saya mendengar banyak angka, tetapi tiada siapapun tahu angka sebenarnya. Tetapi pada tahun depan, saya masih amat gembira dengan apa yang saya dapat."