MARC Marquez Gembira 'Penampilan' Baharu Ducati
Ketinggalan 44 mata di belakang pendahulu kejuaraan Marco Bezzecchi susulan insiden kemalangan pada perlumbaan GP Sepanyol pada Ahad, Marc Marquez menggunakan sepenuhnya sesi ujian untuk menilai pembangunan aerodinamik dan casis jentera Ducati GP26
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/28/20261 min read


SELEPAS mengharungi pusingan tanpa kemenangan perlumbaan GP, Marc Marquez akhirnya menyuarakan rasa lega dan mengakui dia makin yakin dengan cengkaman tayar depan Ducati GP26 selepas menguji komponen aerodinamik baharu Ducati pada sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Jerez, semalam.
Ketinggalan 44 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Marco Bezzecchi susulan insiden kemalangan pada perlumbaan GP Sepanyol pada Ahad, penyandang juara dunia itu menggunakan sepenuhnya sesi ujian untuk menilai pembangunan aerodinamik dan casis jentera GP26.
Hasilnya, pelumba Ducati Lenovo itu menamatkan ujian sebagai penunggang Ducati terpantas di belakang tiga jentera Aprilia, selepas merekodkan masa 1 minit 36.277 saat (s) pada sesi petang.
Biarpun gagal menamatkan perlumbaan sebelum ini, Marquez yang mengakui berada dalam keadaan fizikal yang baik, berjaya melengkapkan 68 pusingan bagi menguji pembaharuan ketara merangkumi panel depan baharu, komponen aerodinamik pada lengan ayun serta casis yang diubah suai.
"Saya mula berasa sedikit lebih yakin dengan bahagian hadapan jentera, terutamanya di selekoh kiri yang kebiasaannya adalah titik kekuatan saya, namun saya agak bergelut di kawasan itu pada perlumbaan awal musim ini," kata Marquez memetik Crash.
Menurut Marquez, pasukannya juga melakukan sedikit peningkatan terhadap jentera ketika mengambil selekoh kanan dan secara asasnya berjaya memperbaiki kelemahan yang ada.

