MARC Marquez Hanya Mahu Pasukan 'Kilang' Musim Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/3/20241 min read

JUARA dunia lapan kali, Marc Marquez tidak lagi berselindung apabila menyatakan dia hanya akan menyertai pasukan berstatus 'Factory' pada kempen MotoGP musim depan.

Dipetik Ketika GP Sepanyol 2024 minggu lalu di Jerez, Marquez yang meninggalkan Honda untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing pada musim ini begitupun tidak menyebut sebarang pengeluar.

"Sasaran saya adalah melakukan 100 peratus untuk mendapatkan jentera 'Factory' tahun depan," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

Bersama Gresini Ducati, Marquez menunggang jentera Ducati Desmosedici GP23 namun ia tidak menghalang pelumba kelahiran Sepanyol itu menjadi kompetitif dan bersaing di kelompok depan.

Dan ketika timbul khabar angin yang mengatakan Pramac Ducati, yang ketika ini memegang status pasukan satelit rasmi dan menunggunakan jentera spesifikasi terkini akan meninggalkan pengeluar Itali itu dan memberi kemungkinan Gresini diberikan jentera terbaharu, Marquez menjelaskan perancangannya bukan seperti itu.

Berkata kepada media Sepanyol, Marquez menjelaskan dia bukan hanya menyasarkan jentera 'Factory', namun pasukan.

"Ia (Pramac) pasukan yang hebat, yang memiliki jentera 'Factory' dan sudah menunjukkan kemampuan untuk bersaing merebut Kejuaraan Dunia, tetapi ia bukan pasukan 'Factory'," katanya.

"Ia pasukan yang baik... satelit, tetapi bukan pasukan 'Factory'.

Mengulas lanjut, Marquez begitupun berkata dia mempunyai beberapa pilihan ketika ini namun mengakui Ducati memiliki jentera paling lengkap di grid perlumbaan.

Ketika ini, satu tempat dalam pasukan 'kilang' Ducati Lenovo sudah pun diisi penyandang juara dunia musim lalu, Francesco Bagnaia.

Dan selain Marquez, turut mempunyai minat untuk mengisi posisi kedua adalah pendahulu kejuaraan musim ini, Jorge Martin dan Enea Bastianini.