MARC Marquez Juara Di Misano, Hampiri Gelaran Dunia Ke-9

Kemenangan diraih pelumba Marc Marquez dari Ducati Lenovo jelas tidak mudah dengan penonton disajikan persaingan sengit memburu kemenangan membabitkan Marco Bezzecchi dari awal sehingga penghujung perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/14/20252 min read

MARC Marquez kembali ke landasan kemenangan apabila menjuarai Perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) San Marino di Misano, Itali yang juga kubu kuat VR46 dengan menewaskan wira tuan rumah, Marco Bezzecchi dari Aprilia.

Begitupun, kemenangan diraih pelumba Ducati Lenovo itu jelas tidak mudah dengan penonton disajikan persaingan sengit memburu kemenangan dari awal sehingga penghujung perlumbaan.

Memulakan perlumbaan di petak ke-4, Marc dengan pantas meletakkan dirinya di kedudukan kedua dan segera menghambat Bezzecchi.

Anak didik legenda MotoGP Itali itu, Valentino Rossi berjaya bertahan selama 11 pusingan sebelum kesilapan pada selekoh lapan pada pusingan ke-12 membenarkan Marc memintasnya.

Ketika ramai yang menjangkakan juara dunia lapan kali itu akan mudah memimpin kejuaraan, Bezzecchi yang beraksi di laman sendiri jelas berfikir berbeza malah jurang di antaran mereka tidak pernah melebihi 0.6 saat sepanjang perlumbaan.

Malah, Bezzecchi pada satu ketika sudah berada di belakang tayar Marc tetapi bekas pelumba Honda itu menggunakan segala pengalamannya untuk bertahan.

Dan hasilnya adalah salah satu perlumbaan paling mendebarkan pada musim ini dengan Marc dan Bezz hanya dipisahkan 0.5 saat di garisan penamat.

Juara Perlumbaan Sprint dan pelumba yang memulakan perlumbaan di petak utama, Bezzecchi terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Pelumba Gresini Ductai, Alex Marquez melengkapkan kedudukan podium namun ketinggalan lebih tujuh saat di belakang.

Seorang lagi pelumba tuan rumah, Franco Morbidelli (VR46 Ducati) menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, kedudukan yang mungkin milik pelumba KTM, Pedro Acosta yang berdepan malang selepas rantai jenteranya tercabut.

Pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo yang memulakan perlumbaan di barisan depan terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-8.

Penyandang juara dunia, Jorge Martin dari Aprilia Racing dan terpaksa memulakan perlumbaan di pit selepas jenteranya berdepan kerosakan dan turut berdepan dua penalti long lap menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

Pelumba ujian Yamaha Racing, Augusto Fernandez yang turut mengharungi dua penalti long lap membawa jentera Yamaha M1 V4 di tenpat ke-14.

Secara keseluruhan, hanya 16 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan dengan pelumba Thailand, Somkiat Chantra turut mengutip mata keduanya selepas melepasi garisan penamat di tempat ke-15.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP San Marino 2025

  1. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 41m 20.898s

  2. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +0.568s

  3. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), +7.734s

  4. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +10.379s

  5. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +11.330s

  6. Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +16.069s

  7. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +17.965s

  8. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +20.964s

  9. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +21.565s

  10. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +23.109s

  11. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +24.592s

  12. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +27.492s

  13. Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP25), +29.937s

  14. Augusto Fernandez (SPA) Yamaha Factory Racing (YZR-M1 V4), +61.504s

  15. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +61.932s

  16. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +1 lap

Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), DNF

Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), DNF

Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), DNF

Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), DNF

Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, DNF

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF