MARC Marquez Kekal 'Merah', Lanjut Kontrak Bersama Ducati Hingga 2028
Perkembangan yang menggembirakan peminat Ducati itu sekali gus mengesahkan pelumba sensasi Sepanyol itu akan terus mengetuai cabaran pengeluar Itali itu bagi meredah era baharu MotoGP (enjin 850cc dan tayar Pirelli) bermula 2027.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/23/20261 min read


MARC Marquez menoktahkan teka-teki berhubung masa depannya apabila menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan kilang Ducati, Ducati Lenovo sehingga penghujung musim 2028.
Perkembangan yang menggembirakan peminat Ducati itu sekali gus mengesahkan pelumba sensasi Sepanyol itu akan terus mengetuai cabaran pengeluar Itali itu bagi meredah era baharu MotoGP (enjin 850cc dan tayar Pirelli) bermula 2027.
"Saya kekal merah. Saya benar-benar gembira dengan perjanjian baharu ini bersama Pasukan Ducati Lenovo dan terus menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Selagi saya di sini, saya akan berikan segalanya untuk mewarnai masa depan dengan warna merah," kata Marquez.
Begitupun difahamkan, kontrak berdurasi dua tahun itu sebenarnya sudah pun dimuktamadkan sejak beberapa bulan lalu, namun pengumumannya sengaja ditangguhkan sementara menunggu rundingan komersial antara penganjur MotoGP dan pengeluar selesai di Litar Brno, hujung minggu lalu.
Sebelum ini, wujud spekulasi dan keraguan mengenai tahap fizikal Marquez susulan kecederaan bahu yang dialaminya di Mandalika.
Tetapi selepas menjalani pembedahan susulan merawat masalah saraf, dia bangkit membuktikan kehebatannya belum pudar dengan merangkul kemenangan di Hungary dan Brno.
Rentetan kejayaan cemerlang itu membolehkan juara kelas perdana tujuh kali itu merapatkan jurang kepada hanya 40 mata di belakang pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi ketika saingan kini beralih ke Litar Assen, hujung minggu ini.

