MARC Marquez Kekal Status 'Raja Aragon'
Kejayaan Marc Marquez menjuarai GP Aragon 2026 membolehkan juara dunia 9 kali itu melonjak ke tangga kedua carta keseluruhan kedudukan pelumba dengan jurang kini mengurang kepada 19 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Aprilia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/30/20261 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez melengkapkan penguasaannya di Grand Prix (GP) Aragon 2026 apabila merangkul kemenangan berganda selepas menjuarai perlumbaan MotoGP yang berlangsung penuh mendebarkan di Motorland Aragon.
Kejayaan memenangi perlumbaan 23 pusingan itu membolehkan juara dunia 9 kali itu melonjak ke tangga kedua carta keseluruhan kedudukan pelumba dengan jurang kini mengurang kepada 19 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Aprilia.
Bermula sebagai pilihan utama selepas menjuarai saingan Sprint, Marquez bagaimanapun terpaksa bekerja keras apabila kesilapannya di Selekoh 1 pada awal saingan menyebabkan dia dipintas oleh pelumba yang memulakan perlumbaan dari petak pertama, Marco Bezzecchi dan Martin.
Enggan mengalah, Marquez pantas memperkemaskan tunggangan dan memintas Martin menerusi gerakan agresif di Selekoh 15 pada pusingan pembukaan, sekali gus membuka ruang buat pelumba KTM, Pedro Acosta menyelit ke tempat ke-3.
Kemuncak debaran perlumbaan tercetus pada pusingan keenam apabila Marquez melancarkan serangan mengejut ke atas Bezzecchi di Selekoh 15, menyaksikan kedua-duanya bersaing sebelah menyebelah di laluan lurus litar dan hampir bersentuhan.
Marquez berjaya mmembrek lewat di Selekoh 16 yang membolehkannya berjaya merampas kedudukan pendahulu, manakala Acosta turut mengambil kesempatan memintas Bezzecchi dari sebelah luar untuk merampas tempat ke-2.
Biarpun terus diberikan tekanan hebat oleh Acosta pada pusingan berikutnya, jaguh Sepanyol itu mula menjarakkan diri dengan meledak catatan sepusingan terpantas berturut-turut pada pusingan ke-13 dan ke-14 untuk mematahkan cabaran bakal rakan sepasukannya itu.
Marquez akhirnya selesa melintasi garisan penamat dengan kelebihan 1.754 saat (s) di hadapan Acosta untuk mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus di Aragon bersama Ducati, manakala Bezzecchi akur di tempat ke-3.
Rakan sepasukan Marquez, Alex menamatkan saingan di tempat ke-4, diekori pendahulu kejuaraan, Martin di tangga ke-5, sementara Enea Bastianini cemerlang bangkit dari petak ke-16 untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8.
Dalam pada itu, nasib malang menimpa juara bertahan, Francesco Bagnaia, Franco Morbidelli dan Toprak Razgatlioglu yang gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan, manakala peluang Raul Fernandez untuk kekal mengasak carta terjejas berikutan kerosakan kotak gear pada awal saingan.

