MARC Marquez Kembali Ke Honda? Ini Jawapan Bos Honda HRC
Sejak menyertai Honda pada musim 2013, pelumba bintang asal Sepanyol, Marc Marquez yang kini berusia 32 tahun sudah merangkul enam gelaran dunia MotoGP sebelum jodoh mereka berakhir pada 2023
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/2/20251 min read


HONDA mempunyai sejarah kejayaan panjang bersama juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez sepanjang 11 musim bersama pelumba bintang kelahiran Sepanyol itu.
Sejak menyertai Honda pada musim 2013, Marquez yang kini berusia 32 tahun merangkul enam gelaran dunia MotoGP sebelum jodoh mereka berakhir pada 2023.
Perpisahan itu didakwa berikutan prestasi jentera Honda yang kurang kompetitif serta tempoh pemulihan panjang susulan kecederaan serius yang dialami Marquez.
Dan selepas setahun meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Ducati, juara dunia sembilan kali itu kembali di puncak namun bersama sut lumba berwarna merah yang juga gelaran pertamanya sejak tahun 2019.
Dalam masa sama, Honda turut mencatat kemajuan apabila pelumbanya Joan Mir menaiki podium di Motegi, pencapaian pertama pasukan itu sejak GP Jepun tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara jentera RC213V.
Ia lantas mencetus spekulasi mengenai kepulangan Marquez ke Honda khususnya menjelang perubahan besar peraturan MotoGP pada 2027.
Ketika ditanya oleh media Sepanyol, AS, bos Honda HRC Alberto Puig berkata: “Ia akan menjadi impian, sesuatu yang istimewa. Tapi kita perlu ambil kira faktor umur dan pelbagai perkara lain. Untuk fikirkan sekarang memang mengarut, tapi saya tidak menolaknya.”
Honda dijangka menjadi tumpuan utama pasaran pelumba menjelang 2027, dengan kontrak barisan pelumba sedia ada - Mir dan Luca Marini - bakal tamat kontrak hujung musim depan.
Jorge Martin, juara dunia 2024, turut dikaitkan dengan Honda selepas cuba mengaktifkan klausa keluar daripada kontrak bersama Aprilia, namun akhirnya kekal bersama pengeluar Itali itu.
Kontrak Marquez bersama Ducati juga akan tamat pada penghujung 2026, menjadikannya antara nama paling hangat dalam pasaran pelumba ketika itu.
Dalam persiapan jangka panjang, Honda sudah pun menandatangani Johann Zarco untuk kekal bersama pasukan LCR sehingga 2027, manakala bintang Moto2, Diogo Moreira dilaporkan menyertai HRC dengan kontrak tiga tahun bermula musim depan.
