MARC Marquez Kembali Ke Litar Guna Ducati Panigale V2
Ini kali pertama pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez kembali menunggang secara agresif di litar sejak mengalami kecederaan di Litar Mandalika pada Oktober tahun lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/9/20261 min read


JUARA dunia MotoGP 2025, Marc Marquez kembali menunggang secara agresif di litar buat kali pertama sejak mengalami kecederaan di Mandalika pada Oktober tahun lalu.
Perkembangan itu sekali gus menandakan perkembangan positif dalam proses pemulihannya menjelang musim baharu.
Selepas melalui fasa latihan dengan basikal dan motosikal lasak, juara dunia 9 kali itu jelas teruja: "Kembali ke atas jentera dan mendapat semula perasaan," tulis Marquez di media sosialnya.
Jentera yang digunakan Marquez adalah Ducati Panigale V2 dan latihan berlangsung dalam suasana sejuk di Litar Aspar, Valencia.
Ia berlangsung pada hari sama pelumba muda Fermin Aldeguer mengalami patah tulang femur.
Turut hadir ialah pelumba ujian Ducati, Michele Pirro, yang bergambar bersama Marquez dan bekas juara dunia tiga kali, Jorge Lorenzo.
Pirro pernah bekerjasama dengan Lorenzo di Ducati pada 2017 dan 2018 dengan Lorenzo kini membimbing Maverick Vinales, yang turut menjalani latihan di fasiliti sama.
Turut menyertai latihan adalah adiknya, Alex Marquez yang juga naib juara MotoGP musim lalu.

