'MARC Marquez Ketika Ini Seperti Tahun Terbaiknya Di Honda'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/25/20251 min read


EMPAT kemenangan berturut-turut dalam kempen MotoGP musim ini sudah cukup untuk meyakinkan Carlos Checa yang Marc Marquez ketika ini sudah berada di tahap terbaiknya seperti di Honda.
Menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo musim ini, Marquez tampak seperti berada di landasan sebenar untuk merangkul gelaran dunia ke-9 dengan prestasi ditampilkan setakat ini.
Selepas menyapu bersih kedua-dua kemenangan di Buriram, Thailand termasuk meraih petak utama, situasi itu berulang di Termas de rio Hondo, Argentina.
Dan pelumba kelahiran Sepanyol itu dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan dominasi pada pusingan 3 yang berlangsung di Austin, Amerika Syarikat yang menjadi 'lubuk' kemenangannya sebelum ini.
Bagi bekas pelumba MotoGP, Checa, dengan memiliki jentera terbaik di grid dan berada dalam keadaan fizikal yang baik, rakan senegaranya itu mempunyai segala 'kunci' untuk meraih keputusan itu pada musim ini.
"Marc adalah pilihan. Jika dia tewas, ia adalah kerana kesilapannya, tetapi saya tidak fikir dia akan melakukan banyak kesilapan," kata Checa memetik podcast Fast & Curious.
"Malah, saya yakin kita akan melihat satu pertiga atau separuh daripada jumlah kemalangan yang berlaku padanya, berbanding dengan apa yang biasa terjadi kepadanya.
"Pada pandangan saya, dia (Marc) ketika ini berada di tahap terbaiknya, seperti tahun-tahun terbaiknya di Honda."
Pusingan ke-3 MotoGP dijadual berlangsung di Grand Prix Amerika Syarikat pada hujung minggu ini dengan Marquez cemerlang mengumpul 74 mata maksimum daripada dua pusingan diikuti adiknya, Alex Marquez (Gresini Ducati) di kedudukan kedua dengan 58 mata.
Tempat ketiga diisi seorang lagi pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dengan mengumpul 43 mata.
