MARC Marquez Kini 'Biru Muda', Rasmi Sertai Gresini Ducati MotoGP Musim 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/12/20231 min read

MARC Marquez menamatkan teka-teki membabitkan destinasinya di MotoGP musim depan dengan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing dan bergandingan bersama adiknya, Alex Marquez.

Marquez yang seluruh kariernya di MotoGP bersama Honda dan memenangi enam gelaran dunia MotoGP dan merekodkan 59 kemenangan Grand Prix meninggalkan pasukan Jepun itu sekalipun kontrak lumayannya masih berbaki setahun.

Antara yang dilihat menjadi punca Marquez melakukan tindakan sedrastik itu adalah ketidakupayaan Repsol Honda untuk mencabar kejuaraan dunia.

Mengikut statistik, kali terakhir pelumba berusia 30 tahun itu merasai nikmat kemenangan adalah Oktober 2021 di GP Emilia Romagna di San Marino, Misano Itali.

Di Gresini, Marquez tidak akan menggunakan jentera Ducati 'Factory' Desmosedici namun versi yang lebih 'tua'.

Sekalipun tindakannya itu nampak pelik, begitupun dengan kontrak setahun, Marquez berpotensi untuk 'menolak' dirinya kembali ke mana-mana pasukan 'Factory' ketika hampir kesemua pelumba berakhir pada musim depan.

"Saya teruja dengan cabaran baru ini," kata Marquez. "Ia bukannya keputusan yang mudah kerana ia adalah perubahan yang besar dari semua sudut.

"Tetapi kadang kala dalam kehidupan, adalah penting untuk keluar dari zon selesa dan meletakkan diri kamu dalam keadaan yang sukar untuk terus meningkat.

"Dari sudut jentera, saya tahu saya perlu mengadaptasi gaya tunggangan saya kepada beberapa perkara, dan ia bukannya mudah. Tetapi saya juga yang semua pasukan di Gresini akan banyak membantu saya.

"Saya tidak sabar untuk mengenali pasukan saya dan mula bekerja dengan mereka," katanya.

Pemilik Gresini Racing, Nadia Padovani Gresini menyifatkan kehadiran Marquez sebagai detik bersejarah dalam keluarga Gresini.

"Fakta yang Marc Marquez memilih untuk berlumba dengan kami pada musim depan jelas sesuatu yang menakjubkan dan saya amat-amat gembira untuk menjadikannya sebagai rasmi," katanya.