MARC Marquez Label Pecco Bagnaia 'Ancaman' Utama Di Austria
Sekalipun tiba di Red Bull Ring selepas memenangi lima perlumbaan secara berturut-turut dan menghuni tangga teratas carta kedudukan pelumba, Marc Marquez mengakui situasinya berbeza di Austria
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/16/20251 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez menamakan rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia sebagai pencabar terkuatnya di Grand Prix (GP) Austria 2025.
Sekalipun menguasai kedua-dua sesi Latihan Bebas 1 dan 2, semalam, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui dia bergelut untuk mendapatkan semula rentaknya apabila kembali ke litar selepas mengharungi rehat musim panas.
Malah Marc turut mengakui yang Bagnaia yang juga juara di Red Bull Ring musim lalu mengharungi sesi lebih baik daripadanya.
“Pecco (Bagnaia) sentiasa amat kuat di sini," kata Marc kepada MotoGP.com. "Dia memenangi tiga perlumbaan terakhir di sini dengan cara yang cukup hebat. Hari ini juga, dia amat bagus dalam rentak kelajuan, mungkin yang paling kuat.
“Pecco adalah juara dunia dua kali (MotoGP) dan di sini adalah salah satu litar kegemarannya. Kita lihat sama ada saya boleh mendekatinya."
Sekalipun tiba di Red Bull Ring selepas memenangi lima perlumbaan secara berturut-turut dan menghuni tangga teratas carta kedudukan pelumba, Marc mengakui situasinya berbeza di Austria.
"Ia hari yang baik. Bukan hari yang sempurna kerana perasaan mengambil masa untuk tiba, perasaan yang baik, perasaan yang bagus.
“Sesi Latihan Bebas 1, mungkin selepas rehat musim panas, kemudian pada awal Latihan Bebas 2 saya bergelut. Tetapi sedikit demi sedikit saya mendapatkan rentaknya, saya mendapat titik brek yang betul, garisan perlumbaan yang betul, saya mula untuk konsisten dan ia perkara paling penting.
"Selain daripada itu, saya gembira dengan perasaan saya dan lihat apa yang berlaku esok. Sasarannya adalah untuk berada di barisan depan ketika kelayakan."
