MARC Marquez Lakar Kemenangan Ke-100, Aprilia Ditimpa Malang
Tiba di Litar Balaton Park dengan sedikit keraguan berikutan masih dalam proses pemulihan susulan pembedahan bahu, Marc Marquez mengharungi minggu perlumbaan di Hungary dengan cara yang cukup berbeza daripada jangkaannya sendiri
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/7/20261 min read


JUARA dunia 9 kali, Marc Marquez mempamerkan tunggangan berkualiti tinggi untuk merangkul kemenangan Grand Prix (GP) ke-100 dalam kariernya dengan menakluk perlumbaan MotoGP GP Hungary 2026 yang penuh debaran dan turut dicemari kemalangan kontroversi, hari ini.
Tiba di Litar Balaton Park dengan sedikit keraguan berikutan masih dalam proses pemulihan susulan pembedahan bahu, pelumba pasukan kilang Ducati itu mengharungi situasi yang berbeza daripada jangkaannya.
Memulakan perlumbaan dari petak pertama, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut menjuarai Perlumbaan Sprint pada Sabtu.
Dan pada perlumbaan utama, dia beraksi seperti di prestasi terbaik malah meninggalkan pelumba bintang KTM, Pedro Acosta dengan kelebihan 1.3 saat di garisan penamat dan meraih kemenangan GP pertamanya sejak San Marino tahun lalu.
Acosta yang masih memburu kemenangan sulungnya di pentas MotoGP terpaksa berpuas hati di tempat ke-2 manakala rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia melengkapkan kedudukan podium.
Ketika persaingan di Balaton Park dianggap boleh dijangka, tumpuan awal perlumbaan begitupun terarah kepada insiden dramatik yang tercetus di Selekoh 1 sebaik sahaja saingan bermula.
Kemalangan berlaku apabila pelumba pasukan Aprilia, Jorge Martin dilaporkan hilang kawalan ketika membrek lalu merempuh rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi.
Insiden itu turut mengheret Fermin Aldeguer (Gresini Ducati), Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia), dan Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati) namun hanya Di Giannantonio berjaya bangkit dan meneruskan saingan.
Selain itu, kemenangan Marquez turut menamatkan kemarau kemenangan pasukan kilang Ducati sejak GP Jepun pada Oktober lalu.
Lebih daripada itu, kemenangan ke-100 ini meletakkan Marquez hanya 15 kemenangan untuk menyamai rekod sepanjang zaman legenda Itali, Valentino Rossi yang memiliki 115 kemenangan.

