MARC Marquez Masih Buru Rekod Vale!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/3/20251 min read

MARC Marquez sudah 'tersekat' dengan angka 8 sejak 2019 dan pelumba kelahiran Sepanyol itu tampak berpeluang untuk meningkatkan jumlah itu apabila menyertai pasukan Ducati Lenovo pada musim ini.

Selepas tujuh pusingan MotoGP musim ini berlangsung, Marquez ketika ini sedang memimpin kejuaraan dan tampak berada di landasan untuk menyamai rekod yang dimiliki legenda Itali, Valentino Rossi yang memiliki 9 gelaran dunia.

"Sudah tentu sembilan adalah nombor yang saya mahu cakap kerana ia adalah nombor seterusnya dalam karier saya dan saya akan cuba," kata Marquez kepada BBC. "Dan ia juga benar ia akan menyamai kejuaraan Valentino Rossi."

Berdasarkan rekod, gelaran juara dunia terbanyak dipegang Giacomo Agostini dengan 15 gelaran diikuti Angel Nieto (13) dan kemudian Rossi, Carlo Ubbiali dan Mike Hailwood yang masing-masing memiliki sembilan kejuaraan.

Tetapi tujuh daripada gelaran juara dunia milik Rossi adalah di kelas utama dengan Marquez memiliki enam.

Dan jika prestasi cemerlangnya bersama Ducati pada musim ini berterusan, ia akan memberinya peluang untuk menyamai rekod milik Rossi selain menyasarkan gelaran ke-10 pada 2026.

Begitupun, rekod 89 kemenangan dalam perlumbaan tampak agak jauh untuk dikejar Marquez yang setakat ini hanya memiliki 65 kemenangan GP.

Marquez, 32 tahun berdepan masalah fizikal yang teruk susulan kecederaan yang dihadapinya pada musim 2020.

Tetapi selepas meninggalkan Honda dan menyertai Ducati, dia ketika ini sedang memimpin kejuaraan dengan kelebihan 24 mata dalam carta kejuaraan di depan adiknya, Alex Marquez (Gresini Ducati).

Pusingan ke-8 MotoGP 2025 dijadual berlangsung di Aragon pada minggu ini.