MARC Marquez Memang Yakin Dapat Elak Penalti

Marc Marquez dedahkan dia tidak bimbang mengenai 'ancaman' hukuman penalti tekanan tayar rendah di Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) yang menyaksikannya muncul sebagai juara

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/19/20251 min read

Marc Marquez
Marc Marquez

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez yakin dia sudah melakukan apa yang sepatutnya bagi mengelak penalti ketika Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 di Brno yang menyaksikannya muncul sebagai juara.

Memulakan perlumbaan di petak kedua di belakang Francesco Bagnaia, juara dunia lapan kali itu tidak menunggu lama untuk memimpin perlumbaan selepas memintas rakan sepasukannya itu sebelum pusingan pertama berakhir.

Dan kedudukan itu tampak kekal dengan masa agak lama yang menyaksikan Marquez memiliki kelebihan sesaat di depan Bagnaia manakala pelumba kelahiran Itali itu memiliki kelebihan dua saat di depan pelumba tempat ketiga, Pedro Acosta.

Pada pusingan kelima, Bagnaia dengan sengaja memperlahankan jenteranya dan membiarkan kedudukan itu dirampas Acosta. Dia kemudian terlepas lagi kedudukan kepada Enea Bastianini dan Fabio Quartararo sebelum dua lagi pelumba, Marco Bezzecchi dan Raul Fernandez turut meintasnya.

Marquez kemudian melakukan perkara yang sama dengan membiarkan Acosta memintasnya namun kekal di kedudukan kedua sebelum pelumba Red Bull KTM itu dipintas di saat akhir dan meraih kemenangan ke-11 miliknya dalam aksi Sprint, musim ini.

Dan sekali pun disiasat oleh Steward FIM, tiada tindakan lanjutan dibuat kerana Marquez didapati tidak melanggar sebarang peraturan dan ia sudah pun diketahui oleh pelumba itu.

"Ya, kami melakukannya," kata Marquez ketika ditanya ketika temuramah selepas perlumbaan di parc ferme sama ada dia merasakan sudah melakukan yang sepatutnya untuk mengelak hukuman berkenaan.

"Atas sebab itu saya tersenyum. Benar ia memang amat-amat hampir ke hadnya. Saya menunggang dengan selesa, kemudian saya melihat yang tekanan tidak mencukupi.

"Kemudian saya memutuskan untuk menunggu, dengan berada amat-amat hampir dengan Acosta untuk meningkatkan suhunya.

"Kemudian apabila saya melihat suhunya berada dalam peraturan, tekanan berada pada tahap peraturan, kemudian saya menyerang pada dua pusingan terakhir."