MARC Marquez Menang Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Sepanyol 2025
Pengiktirafan berprestij itu hadir Marc Marquez mendominasi kempen MotoGP musim 2025 dan merangkul kejuaraan dunia MotoGP ke-7 dan kesembilannya secara keseluruhan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/17/20261 min read


PELUMBA MotoGP Ducati Lenovo, Marc Marquez secara rasmi dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Sepanyol bagi tahun 2025.
Pengiktirafan berprestij itu hadir selepas pelumba berusia 33 tahun itu mendominasi kempen MotoGP musim 2025 dan merangkul kejuaraan dunia MotoGP ke-7 dan kesembilannya secara keseluruhan.
Menyertai pasukan berstatus kilang Ducati Lenovo, Marquez meraih 11 perlumbaan MotoGP dan 14 perlumbaan Sprint dalam laluannya untuk bergelar juara yang disahkan ketika saingan GP Jepun tahun lalu.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau penantian 6 tahun Marquez sejak meraih kejuaraan dunia MotoGP ke-6 miliknya pada 2019, sebelum berdepan episod malang yang merencatkan kariernya pada awal kempen 2020.
Kemalangan ngeri di GP Sepanyol 2020 menyebabkan lengan kanannya mengalami kecederaan teruk, memaksanya berehat panjang daripada keseluruhan kempen dan menjalani 4 pembedahan besar dengan prosedur terakhir membabiykan tulang lengannya.
Kebangkitan Marquez bermula selepas dia mengambil keputusan berani menamatkan kontrak Honda Racing Corporation (HRC) lebih awal untuk menyertai Gresini Ducati pada 2024, yang menyaksikannya memenangi 3 perlumbaan dan menempah tempat bersama Ducati Lenovo bagi musim 2025.
Kejayaan meraih gelaran dunia ketujuh kelas perdana itu membolehkannya menyamai rekod legenda Valentino Rossi dan membuka peluang buatnya memintas pencapaian itu untuk berada di kedudukan kedua terbaik sepanjang zaman di belakang Giacomo Agostini.
Bagi kempen 2026 yang sedang berlangsung, Marquez mempamerkan kebangkitan epik apabila berjaya memadam defisit 102 mata selepas menjalani pembedahan kecederaan bahu, dan kini hanya ketinggalan 2 mata di belakang pendahulu carta dari Aprilia, Jorge Martin dengan baki 5 pusingan.

