MARC Marquez Menang Lagi, Kesilapan Taktik Kecewakan Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/8/20242 min read

MARC Marquez tidak perlu menunggu lebih 1,000 hari untuk kembali bergelar juara namun hanya memerlukan beberapa hari untuk merangkul kemenangan MotoGP keduanya musim ini dengan menjuarai Grand Prix San Marino 2024, hari ini.

Begitupun kemenangannya di Misano, yang juga gelanggang sendiri buat pasukan Ducati Lenovo turut dibantu 'hujan' dan tuah ketika pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dipalit kekecewaan.

Ketika perlumbaan berlangsung, hujan yang turun menyaksikan beberapa pelumba mengambil tindakan pantas termasuk Martin menukar jenteranya di pit.

Keputusan itu jelas tampak silap apabila keadaan kembali cerah yang memaksa pelumba dari pasukan Pramac Ducati itu sekali lagi kembali ke pit untuk menukar kembali jenteranya.

Dan ketika itu, Martin sudah pun kehilangan begitu banyak masa dan menyertai semula perlumbaan di kedudukan ke-15 dan sudah pun dipintas sepusingan.

Bagi Marquez, keadaan sukar di Misano membenarkannya untuk bangkit daripada memulakan perlumbaan di petak ke-9 kepada pelumba yang memimpin perlumbaan selepas lapan pusingan.

Dan pelumba pasukan Gresini Ducati yang menggunakan liveri istimewa kekal di depan dan sekalipun pada satu ketika dicabar Bagnaia, namun pelumba Ducati Lenovo mengendurkan tekanannya di penghujung perlumbaan untuk menamatkan aksi di tempat kedua.

Kedudukan kedua ditambah dengan tempat ke-15 yang diraih Martin menyaksikan Bagnaia ketika ini hanya dipisahkan 6 mata daripada pendahulu kejuaraan itu.

Rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini melengkapkan kedudukan podium yang menyaksikan Ducati terus menampilkan dominasi dengan pelumba KTM, Brad Binder berjaya menyelit dengan melepasi garisan penamat di tempat ke-4.

Sementara itu, Fabio Quartararo sekali lagi muncul sebagai pelumba daripada pengeluar Jepun terbaik selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-7.

Pelumba terbaik Honda menjadi milik Johann Zarco dari LCR Honda di kedudukan ke-12 dengan kedua-dua pelumba pasukan 'kilang' pengeluar Jepun itu, Repsol Honda tidak berlumba susulan masalah kesihatan.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP San Marino 2024

  1. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), 41m 52.083s

  2. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +3.102s

  3. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +5.428s

  4. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +14.185s

  5. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +16.725s

  6. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +17.582s

  7. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +17.642s

  8. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +19.327s

  9. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +27.946s

  10. Pol Espargaro (SPA) Red Bull KTM (RC16), +38.781s

  11. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +46.386s

  12. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +62.637s

  13. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +70.717s

  14. Stefan Bradl (GER) HRC Test Team (RC213V), +77.547s

  15. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +1 lap

  16. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +1 lap

  17. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +1 lap

  18. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +1 lap

  19. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +1 lap

Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), DNF

Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), DNF

Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), DNF