MARC Marquez Mohon Maaf Kepada Nicolo Bulega

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/29/20241 min read

MARC Marquez meraih tempat ketiga pada perlumbaan 'Ducati Cup' sebenar, Ducati Lenovo Race of Champions 2024 di Misano, Itali minggu lalu dan menariknya, tidak terlepas daripada mencipta kontroversi.

Kepada yang tidak tahu, perlumbaan yang berlangsung sempena World Ducati Week 2024 itu menampilkan barisan pelumba yang menunggang jentera Ducati di pentas MotoGP, WSBK dan British SBK.

Menunggang Ducati Panigale V4S generasi terbaharu, pemenangnya adalah juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia dan bersamanya di podium adalah pelumba WorldSBK, Andrea Iannone dan Marquez.

Meskipun ia hanya perlumbaan pertunjukan, berlaku insiden tidak diingini membabitkan juara dunia MotoGP enam kali itu dengan pelumba WorldSBK Ducati, Nicolo Bulega di penghujung perlumbaan.

Dan susulan insiden itu, Bulega terjatuh ke bahagian batu kerikil dan menjadi satu-satunya pelumba yang tidak menamatkan perlumbaan.

Mengulas insiden itu, Marquez menjelaskan dia tidak mengetahui sama ada ada sentuhan antara dia dan Bulega.

"Malang untuk pusingan terakhir, saya dapat merasakan yang Bulega terjatuh," kata Marquez kepada Sky Italia. "Saya tidak tahu jika ada sentuhan atau tidak, tidak banyak yang saya dapat dengar."

Dan menurut laporan itu lagi, Marquez kemudian mengunjungi garaj Bulega selepas perlumbaan untuk meminta maaf dan menjelaskan apa yang terjadi.

Memetik laporan Motosprint pula, pelumba Sepanyol itu berkata: "Saya akan berjumpa dengan Nicolo dan memberikan helmet yang saya gunakan pada perlumbaab.

"Saya mahu bertanya kepadanya sama ada berlakunya sentuhan atau tidak, kerana saya tidak merasainya. Saya hanya mendengar bunyi motosikal bergesel di laluan tarmac.

"Saya tidak tahu jika dia melakukan brek dengan lebih agresif berbanding kebiasaan untuk menutup garisan. Nicolo mengharungi perlumbaan yang baik dan saya harap dia cergas," katanya.

Keputusan Ducati Lenovo Race of Champions 2024

  1. Francesco Bagnaia

  2. Andrea Iannone, +1.462s

  3. Marc Marquez, +2.556s

  4. Marco Bezzecchi, +3.889s

  5. Fabio di Giannantonio, +6.332s

  6. Michael Ruben Rinaldi, +10.062s

  7. Franco Morbidelli, +10.916s

  8. Enea Bastianini, +11.156s

  9. Jorge Martin, +12.6s

  10. Michele Pirro, +13.109s

  11. Alex Marquez, +15.251s

  12. Alvaro Bautista, +17.648s

  13. Danilo Petrucci, +22.573s

  14. Glenn Irwin, +29.134s

Nicolo Bulega, DNF