MARC Marquez Nafi Sengaja Tak Menang Di Catalunya
Deretan kemenangan pelumba kelahiran Marc Marquez akhirnya menemui noktah di Catalunya selepas dia dikalahkan oleh pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez yang juga adiknya pada perlumbaan utama
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/8/20251 min read


BINTANG Ducati Lenovo, Marc Marquez menegaskan 'kekalahannya' di Grand Prix (GP) Catalan 2025 bukan tindakan yang disengajakan.
Sebaliknya, juara dunia lapan kali itu berkata ia adalah berpandukan strategi berasaskan keperluan dalam perebutan kejuaraan dunia.
Deretan kemenangan pelumba kelahiran Sepanyol itu berakhir di Catalunya selepas dia dikalahkan oleh pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez yang juga adiknya pada perlumbaan utama.
Dan keputusan itu menutup peluang pendahulu kejuaraan dunia MotoGP itu untuk menoktahkan persaingan merebut gelaran dunia di GP San Marino di Misano pada minggu ini.
Situasi itu pantas mencetus spekulasi yang bekas pelumba Honda itu enggan meraikan kejayaan bermakna itu di Misano yang juga gelanggang kepada legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi.
"Masih ada tujuh pusingan untuk diharungi,” kata Marquez. "Matlamat saya adalah kekalkan mentaliti yang sama—jangan berlebihan, kawal had, kawal jentera, dan kawal setiap mata."
Marquez mengakui dia berpeluang untuk meraih kemenangan namun memilih pendekatan lebih konservatif memandangkan kelebihan 182 mata yang dimilikinya dalam kedudukan kejuaraan.
"Saya memang boleh memberikan segala-galanya tetapi ia bukan masanya. Saya gembira kerana seperti yang saya katakan pada Khamis lalu, akan tiba hari di mana saya perlu terima bahawa ada pelumba yang lebih laju daripada saya. Dan minggu ini, adik saya lebih laju."
Mengulas lanjut, Marquez berkata dia cuba memanfaatkan slipstream Alex untuk membuka jurang dengan pelumba ketiga namun menyedari rentak perlumbaan adiknya itu lebih konsisten dan sukar untuk ditandingi.
Marquez turut mendedahkan yang bos pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi sudah memberi amaran awal bahawa perlumbaan di Barcelona mungkin menjadi lokasi di mana dia perlu akur dengan kedudukan kedua.
"Sejak rehat musim panas, saya sudah katakan akan tiba hari di mana saya perlu terima ada pelumba lebih pantas. Dan hari ini, Davide kata mungkin inilah harinya. Saya cuba, anda boleh lihat di selekoh 10 di mana saya cuba masuk secara agresif, tapi saya teringat insiden Alex semalam (Sabtu).
"Bagi saya, yang paling penting dalam kejuaraan ialah apabila saya berada di litar yang mencabar, saya masih mampu berada dekat dengan pelumba terpantas," katanya.
