MARC Marquez Paling Laju Ujian Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/13/20252 min read

HARI terakhir ujian pra-musim MotoGP 2025 terus menyaksikan penguasaan Ducati menerusi juara dunia lapan kali, Marc Marquez yang melakukan catatan masa terpantas di Buriram, Thailand.

Selepas dua ujian rasmi sebelum ini dikuasai adiknya Alex Marquez dari pasukan Gresini Ducati, Marc tampil membuktikan statusnya sebagai pelumba 'kilang' Ducati Lenovo dengan menguasai kedua-dua hari di Buriram.

Malah, pelumba yang menggunakan jentera spesifikasi terkini Ducati GP25 itu menjadi satu-satunya pelumba yang melakukan catatan masa bawah 1 minit 29 saat (s) selepas melakukan 1:28.855s.

Seperti diketahui, tugas Marc dan rakan sepasukannya Francesco Bagnaia di Buriram adalah untuk menentukan enjin yang bakal digunakan pasukan itu bagi dua musim berikutnya.

Alex yang menggunakan jentera Ducati GP24 secara total dalam pada itu terus tampil dengan persembahan positif apabila melakukan catatan kedua terpantas.

Tetapi apa yang mengejutkan, pelumba yang melakukan catatan ketiga terpantas bukan menunggang jentera Ducati, tetapi Marco Bezzecchi daripada Aprilia.

Disebalik ketiadaan juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin susulan kemalangan pada hari pertama ujian di Malaysia, pelumba kelahiran Itali yang juga pelajar Akademi VR46 tampil menyinar.

Turut menampilkan prestasi yang baik adalah Pedro Acosta apabila pelumba Red Bull KTM itu melakukan catatan ke-4 terpantas.

Ia kemudian diikuti Bagnaia yang melakukan catatan ke-5 terpantas.

Honda turut menerusikan prestasi positif di Thailand apabila pelumba pasukan 'kilangnya', Honda HRC Castrol, Joan Mir melakukan catatan ke-6 terpantas.

Yamaha turut bangkit pada hari terakhir apabila pelumbanya, Fabio Quartararo melakukan catatan ke-8 terpantas.

Pelumba 'rookie' terbaik di Buriram adalah Ai Ogura dengan pelumba Trackhouse Aprilia itu melakukan catatan ke-11 terpantas.

Turut mengejutkan adalah rakan sepasukan Ogura, Raul Fernandez apabila pelumba yang baru menjalani pembedahan susulan kemalangan ngeri di Sepang, minggu lalu itu melakukan catatan ke-13 paling pantas.

Sebagai info, pusingan pembuka tirai MotoGP dijadual berlangsung di Buriram pada 28 Februari hingga 2 Mac.

Berikut adalah catatan masa hari terakhir ujian pra-musim MotoGP 2025 di Buriram.

  1. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 1:28.855s

  2. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), +0.179s

  3. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +0.205s

  4. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +0.278s

  5. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +0.523s

  6. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +0.544s

  7. Franco Morbidelli (ITA) VR46 Ducati (GP24), +0.599s

  8. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +0.731s

  9. Maverick Vinales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +0.751s

  10. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +0.762s

  11. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +0.781s

  12. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +0.877s

  13. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +0.877s

  14. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +0.928s

  15. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +0.982s

  16. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +1.027s

  17. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +1.207s

  18. Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +1.230s

  19. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +1.234s

  20. Somkiat Chantra (THA) LCR Honda (RC213V)*, +1.610s

  21. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Test Rider (RS-GP25), +2.352s