MARC Marquez Pecah Rekod Buriram Sesi Latihan Bebas Jumaat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/25/20241 min read

MARC Marquez meneruskan rentak baiknya apabila menamatkan sesi latihan bebas pada Jumaat Grand Prix (GP) Thailand 2024 sebagai pelumba terpantas dan memecahkan rekod sepusingan di Litar Buriram, hari ini.

Segar dengan kemenangan di Phillip Island, minggu lalu, pelumba Gresini Ducati itu melakukan catatan 1 minit 29.165 saat (s). Ia mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang Jorge Martin, 1m 29.287s yang dibuat pada tahun lalu.

Begitupun, Martin daripada Pramac Ducati enggan cengkamannya sebagai pendahulu kejuaraan mengendur apabila melakukan catatan kedua terpantas.

Pelumba pasukan Ducati Lenovo, Enea Bastianini ketiga terpantas diikuti rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia ke-4.

Pelumba bukan Ducati, Maverick Vinales dari Aprilia Racing melakukan catatan ke-5 terpantas.

Rakan sepasukan Martin, Franco Morbidelli ke-6 terpantas diikuti pelumba terpantas KTM, Pedro Acosta (GASGAS Tech3).

Seorang lagi pelumba Gresnini Ducati, Alex Marquez ke-8 terpantas diikuti pelumba VR46 Ducati, Marco Bezzecchi.

Pelumba terbaik pengeluar Jepun diisi Johann Zarco (LCR Honda) dengan pelumba terbaik Yamaha adalah Fabio Quartararo yang mencatatkan masa ke-12 terpantas.

Martin yang juga juara perlumbaan MotoGP di Buriram musim lalu ketika ini memiliki kelebihan 20 mata di depan Bagnaia berbaki tiga pusingan termasuk GP Malaysia minggu depan.