MARC Marquez Pelumba Yang Merbahaya - Vale

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/5/20231 min read

VALENTINO Rossi menggambarkan kehadiran Marc Marquez di kem Ducati sebagai menarik untuk disaksikan dan penting untuk pengeluar Itali itu menguruskan situasi berkenaan dengan baik.

Marquez meninggalkan pasukan 'Factory' Repsol Honda untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini dalam usahanya memburu gelaran dunia MotoGP ketujuh.

Keputusan pelumba Sepanyol itu menyertai Ducati memang nampak cukup jelas iaitu untuk menyamai rekod yang dipegang oleh Rossi yang ketika ini turut mempunyai pasukan bersaing di MotoGP, VR46.

Memetik laporan GPOne, Vale berkata: "Kehadiran Marc (ke Ducati) pasti sesuatu yang menarik untuk dilihat. Sama seperti bagaimana Ducati ingin mengendalikannya.

"Marc pasti akan menjadi amat merbahaya dan pasukan kami perlu berada di tahap yang terbaik."

Seperti Vale, hubungan antara pelumbanya Marco Bezzecchi dengan Marquez memang buruk lebih-lebih lagi apabila protogenya itu mendakwa Marquez menjadi punca kemalangan yang membuatkannya tersisih di GP Valencia, baru-baru ini.

Bezzecchi cuba mendapatkan penjelasan daripada Marquez namun maklum balas yang diperoleh tidak seperti diinginkan yang menyaksikan pelumba Itali itu melabel Marquez sebagai 'Pelumba terkotor di MotoGP.'

Pelumba kelahiran Itali itu menolah untuk menyertai Pramac Ducati - yang memberikannya peluang untuk menunggang jentera 'Factory' Desmosedici - untuk kekal di VR46.

Kekal dengan jentera yang setahun lebih 'tua' musim depan, Rossi menjelaskan pasukannya VR46 akan memberikan segala sokongan kepada Bezzecchi.

"Begitupun, kami berharap perbezaan di antara jentera GP24 dan GP23 hanya sedikit, dan kami akan cuba bersaing merebut kejuaraan dengan Bezz," katanya.