MARC Marquez Percaya Pedro Acosta Mampu Julang Gelaran Juara Dunia MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/15/20231 min read

JAGOAN Honda yang bakal menyertai Ducati musim depan, Marc Marquez mempunyai keyakinan juara dunia Moto2 2023, Pedro Acosta mampu menjulang kejuaraan dunia MotoGP dan lebih menarik - beberapa kali sepertinya.

Acosta yang mengesahkan gelaran dunia Moto2 di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, minggu lalu sah akan menyertai MotoGP musim depan bersama pasukan satelit KTM, Tech3 GasGas.

Tidak seperti Marquez yang terus disambar oleh pasukan 'Factory' Repsol Honda, Acosta bakal berdepan cabaran lebih sukar pada penampilan sulungnya di MotoGP.

Tetapi 'kekurangan' itu tidak dilihat Marquez yang juga juara dunia MotoGP enam kali sebagai kekurangan dan Acosta berpeluang menjadi antara nama besar di perlumbaan elit itu.

"Selepas perlumbaan pertamanya di Moto3, saya membuat hantaran di Twitter ketika saya sedang mengalami kecederaan di atas sofa rumah saya dan berkata dia adalah pelumba yang menakjubkan dan dia membuktikannya," kata Marquez.

"Dia adalah salah satu nama pelumba yang akan menjadi nama besar di MotoGP.

"Saya tidak mahu melabelnya sebagai 'anti-seseorang' atau perkara seperti itu kerana ia sesuatu yang saya sentiasa benci.

"Setiap pelumba mempunyai eranya, tahunnya dan juga masa terbaik mereka. Kini nampaknya tidak sesiapapun pelumba boleh memenangi kejuaraan secara berturut-turut, tetapi Acosta nampaknya boleh melakukannya."

Berusia 19 tahun, Acosta sudah memiliki dua kejuaraan dunia dalam 'poketnya' iaitu dalam kelas Moto3 pada penampilan sulungnya di kejuaraan berkenaan pada 2021 dan Moto2 pada musim ini.