MARC Marquez Percaya Satu Lagi Kejuaraan Dunia Mampu Dijulang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/11/20241 min read
MARC Marquez yang sah menyertai pasukan dianggap terkuat di grid MotoGP ketika ini, Ducati Lenovo musim depan akhirnya mula menyuarakan dengan yakin mengenai peluangnya untuk menambah koleksi gelaran dunia.
Pelumba pasukan Gresini Ducati itu mengharungi minggu yang boleh dianggap cukup positif di GP Jerman, minggu lalu yang menyaksikannya mencipta sejarah berkongsi podium bersama adiknya Alex.
Sekalipun 'kemarau' kemenangan masih berterusan, bekas pelumba Honda itu setakat ini sudah merangkul empat kedudukan podium pada perlumbaan utama MotoGP selain lima podium dalam Perlumbaan Sprint.
Dan meskipun konsisten mencabar Francesco Bagnaia dan Jorge Martin - pelumba yang dianggap 'terkuat' ketika ini, pelumba kelahiran Sepanyol itu akhirnya bersuara dengan yakin mampu memenangi satu kejuaraan dunia namun akur ia tidak mampu dilakukan pada musim ini.
"Kejuaraan dunia? Orang bertanya kepada saya mengenai perkara ini. Saya hampir mendapatkannya, tetapi kamu perlu melihat kepada realiti," kata Marquez dalam satu temuramah bersama DANZ.
"Dan realitinya adalah saya tidak boleh kekal untuk bersaing merebut gelaran jika saya perlu membuat pengejaran pada Ahad, jika saya keluar, atau jika ada ini atau itu.
"Ada dua pelumba, bukan satu, tetapi dua, yang sentiasa konsisten lebih laju berbanding saya dan melakukan perkara lebih baik. Saya tidak dapat melihat diri saya bersaing merebut Kejuaraan Dunia.
"Terlalu banyak perkara perlu berlaku. Ketika ini saya lihat Pecco paling kuat. Dia mempunyai kestabilan mental dan menunjukkan hasilkan dan terus mendapat momentum.
"Sasarannya adalah untuk menamatkan di kelompok tiga terbaik dan ia bukan mudah untuk mengenetepikan (Enea) Bastianini.
"Saya fikir saya akan menang satu lagi kejuaraan dunia, sekurang-kurangnya saya mengharapkan satu."
Selepas sembilan pusingan, Marquez yang kali terakhir merasai nikmat menjuarai perlumbaan ketika ini menghuni tangga ketiga carta kejuaraan dunia MotoGP di belakang Martin dan Bagnaia yang masing-masing mengumpul 222 dan 212 mata.