MARC Marquez Perkukuh Status Di Sachsenring
Marc Marquez menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman 2025 yang dipenuhi drama kemalangan dengan cukup dominan sekali gus membuktikan dia adalah 'Raja' di Sachsenring
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/13/20252 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez membuktikan dia adalah 'Raja' di Sachsenring apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman 2025 yang dipenuhi drama kemalangan dengan cukup dominan, hari ini.
Kemenangan ke-69 karier di MotoGP itu turut menyaksikan pelumba kelahiran Sepanyol itu memintas kedudukan legenda Itali, Giacomo Agostini sebagai pelumba kedua paling banyak menang perlumbaan GP.
Dan ia juga adalah kemenangan kesembilannya di Litar Sachsenring dalam pentas MotoGP dan melebarkan jurang di puncak carta kejuaraan kepada 83 mata di depan adiknya, Alex Marquez yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Melengkapkan posisi di podium menjadi milik rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia.
Memulakan perlumbaan di petak utama, juara dunia lapan kali itu langsung tidak memberi peluang kepada pelumba lain untuk mencabarnya apabila memimpin perlumbaan dari awal sehingga garisan penamat.
Cuba dicabar Fabio Di Giannantonio pada satu ketika, kempen pelumba pasukan pelumba VR46 Ducati itu berakhir mengecewakan apabila terjatuh ketika berada di posisi kedua.
Situasi sama turut berlaku kepada pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi yang turut terjatuh ketika berada di posisi naib juara dan menariknya di selekoh yang sama.
Kemalangan itu menyaksikan Alex dan Bagnaia berada di podium dengan secara keseluruhan, hanya 10 pelumba menamatkan perlumbaan.
Sekalipun dicabar sengit pelumba 'Rookie' Fermin Aldegue, pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dengan pelumba yang kembali berlumba selepas lebih dua bulan berehat, Luca Marini (Honda HRC Castrol) di tempat ke-6.
Tempat ke-7 menjadi milik pelumba KTM, Brad Binder yang menjadi satu-satunya pelumba pengeluar Austria itu yang berjaya menamatkan perlumbaan diikuti pelumba pasukan satelit Yamaha, Jack Miller (Pramac Yamaha) di tempat ke-8.
Pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez di tempat ke-9 dengan rakan sepasukan Quartararo, Alex Rins menjadi pelumba terakhir melepasi garisan penamat.
Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Jerman 2025
Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 40 minit 42.854 saat (s)
Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +6.380s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +7.080s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +18.738s
Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24)*, +18.916s
Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +24.743s
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +24.820s
Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +25.757s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +25.859s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +39.419s
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF
Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, DNF
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), DNF
Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), DNF
Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), DNF
Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), DNF
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), DNF
Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF
