MARC Marquez Perlu Lupakan 'Kekurangan' Tunggang Ducati GP23 - Jorge Lorenzo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/2/20241 min read

JORGE Lorenzo menghulurkan nasihat yang 'membina' kepada rakan senegaranya, Marc Marquez agar melupakan hakikat yang dia ketika ini berlumba menggunakan jentera MotoGP Ducati spesifikasi setahun lebih tua.

Marquez yang juga juara dunia lapan kali meninggalkan pasukan 'kilang' Repsol Honda untuk menyertai Ducati, namun bersama pasukan satelit Gresini Racing dan menunggang jentera GP23.

Selepas dua pusingan berlangsung di Qatar dan Portugal, jentera spesifikasi terkini GP24 yang ditunggang Jorge Martin dan Francesco Bagnaia tampak lebih menyerlah.

Dan Lorenzo percaya Marquez tidak mempunyai kelebihan berbanding pelumba yang menggunakan jentera GP24 dengan menunggang jentera GP23 namun perlu melupakan 'kekurangan' itu.

"Tidak. Saya tidak yakin, jika dia (Marquez) ada pilihan, dia akan menggunakan jentera 2024. Tetapi dia tidak mampu untuk mengubahnya," kata Lorenzo memetik laporan Mundo Deportivo.

"Dia perlu melupakan kekurangan dari sudut psikologi dan dengan apa yang dia miliki, menjadi pelumba Ducati terbaik menunggang jentera 2023.

"Jika dia melakukannya, dia akan mampu untuk mengejutkan pelumba yang menunggang jentera 2024."

Berdasarkan data, pelumba Ducati yang menunggang jentera spesfikasi terdahulu meraih keputusan lebih baik di awal musim berbanding jentera spesifikasi terkini.

Tetapi bagi Lorenzo, situasi itu tidak selalu terjadi.

"Ia bergantung kepada tahun. Ada tahun di mana ada langkah besar di antara jentera lama dan baharu, tetapi ada ketika yang baharu lebih buruk," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu.

"Ia berlaku sebelum ini, tetapi saya tidak fikir situasi itu berlaku kepada Ducati tahun ini. Lebih tepat, pada musim ini jentera baharu jelas lebih baik berbanding lama dan ia tidak bagus untuk Marc.

"Saya tidak fikir yang perbezaannya amat besar, tetapi dengan jentera 2024, Marquez boleh menjadi lebih laju. Dan malang untuknya, dia tiba di Ducati pada tahun di mana yang baharu lebih baik."