MARC Marquez Pernah Gerun Dengan Pelumba Ini Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/26/20241 min read

MARC Marquez berpotensi untuk berdepan semula dengan pelumba yang pernah mencetus rasa gerun buatnya di pentas Moto2 pada kempen MotoGP musim depan, Andrea Iannone.

Pendedahan itu dibuat sendiri oleh Prinsipal Ducati Lenovo Davide Tardozzi, memetik laporan GPOne tetapi turut mengakui ia agak sukar untuk dilaksanakan.

Menurut Tardozzi, nama Iannone pernah mencetus rasa 'goyang' kepada Marquez ketika keduanya bersaing di pentas Moto2 pada 2011 dan 2012.

Pada musim pertamanya di Moto2, Marquez muncul naib juara dunia di belakang Stefan Bradl dengan Iannone ketiga. Dan pada musim 2012, Marquez berjaya memenangi gelaran dunia Moto2 tunggalnya dengan Iannone sekali lagi di tangga ketiga.

Turut pernah bersaing dengan Marquez di MotoGP pada satu ketika, Iannone begitupun dipalit kes doping yang menyaksikannya digantung daripada berlumba selama empat tahun sebelum kembali ke kancah WSBK musim ini.

Setakat ini, Iannone berjaya menampilkan aksi yang cukup baik bersama pasukan satelit Go Eleven Ducati yang membuatkan peluangnya untuk kembali ke MotoGP kembali terbuka.

"Melihat kepada usianya, Andrea sepatutnya cuba untuk melakukan yang terbaik di WorldSBK," kata Tardozzi. "Sudah tentu MotoGP masih berada dalam kepalanya, tetapi saya lihat sukar untuknya berada di sini.

"Dia (Iannone) begitupun adalah bakat semulajadi, saya ingin mengingati sesuatu yang Marquez pernah cakap kepada saya beberapa tahun lalu.

"Iannone adalah satu-satunya pelumba yang Marquez takut di Moto2. Andrea layak untuk mendapatkan penghormatan daripada juara dunia lapan kali itu."

Mengulas lanjut, Tardozzi mengakui sekali pun berpeluang, adalah sukar untuk Iannone yang kini berusia 35 tahun untuk kembali ke MotoGP.

"Kami tahu yang Paolo Campinoti (pemilik Pramac) adalah peminatnya. Tetapi saya fikir, perkara ini agak sukar untuk beberapa alasan," kata Tardozzi.

"Andrea beraksi dengan baik di WSBK, tetapi MotoGP adalah satu langkah ke depan dan saya tidak tahu selepas begitu banyak tahun dia masih mampu mengharunginya.

"Juga, cara untuk menunggang juga sudah berubah dan pada masa sama karakter jentera juga berubah."

Selain ke MotoGP, Iannone juga dikatakan menjadi calon terbaik untuk mengisi kekosongan di pasukan 'kilang' Ducati di WorldSBK seandainya juara dunia, Alvaro Bautista membuat keputusan untuk bersara.