MARC Marquez Raih Kemenangan Berganda Di Motegi
Kemenangan Marc Marquez menyaksikan penyandang juara dunia itu merapatkan jurang mata kepada hanya 2 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Aprilia yang terpaksa menamatkan perlumbaan sebagai naib juara
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/4/20261 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez membuktikan Motegi antara kubu kuatnya selepas menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Jepun 2026, kemenangan ke-2 buatnya di gelanggang sama selepas turut menjuarai Perlumbaan Sprint.
Kemenangan itu turut menyaksikan penyandang juara dunia itu merapatkan jurang mata kepada hanya 2 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Aprilia yang terpaksa menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.
Melengkapkan kedudukan podium adalah rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi yang terpaksa bekerja keras menahan asakan sengit pelumba Tech3 KTM, Enea Bastianini.
Tidak seperti perlumbaan Sprint, Marquez membiarkan Martin yang memulakan perlumbaan di petak utama memimpin 10 pusingan awal sebelum melakukan pintasan berani untuk merampas kedudukan pendahulu dan mengekalkan kelebihannya sehingga garisan penamat.
Berikutan risiko kepanasan melampau di Motegi menyaksikan pengeluar tayar Michelin menghalang daripada penggunaan tayar kompaun lembut untuk tayar belakang.
Ia menyaksikan kesemua pelumba terpaksa menggunakan tayar keras yang pada awalnya memihak kepada Martin dan memberi kesukaran kepada beberapa pelumba antaranya jaguh KTM, Pedro Acosta yang bergelut mencari rentak sehingga jatuh ke kedudukan ke-8 pada awal perlumbaan.
Bagi Marquez, selepas memintas Martin, pelumba asal Sepanyol itu tidak menoleh ke belakang apabila terus melebarkan jurang kepada 0.9 saat pada pusingan ke-16 dengan saingan di kelompok belakang diwarnai insiden kemalangan berasingan membabitkan Alex Marquez, Jack Miller dan Johann Zarco.
Perlumbaan terus menarik apabila Bastianini nyaris merempuh Bezzecchi di Selekoh 10 dalam usahanya merebut podium, manakala Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 dengan jaguh tuan rumah, Ai Ogura ke-6.

