MARC Marquez Rendah Diri Hadapi Sachsenring

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/3/20241 min read

SELAIN Austin, Amerika Syarikat, juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez boleh dianggap 'pakar' di Sachsenring - lokasi berlangsungnya Grand Prix (GP) Jerman 2024, hujung minggu ini.

Secara teknikal, pelumba kelahiran Sepanyol itu tidak pernah tewas di Sachsenring sejak memenanginya buat pertama kali pada 2010 (125 cc) sehinggalah musim 2021 (2020 dibatalkan susulan Covid-19).

Pada 2022, bekas pelumba Honda itu tidak beraksi susulan kecederaan diikuti deretan kemalangan yang dihadapinya tahun lalu yang memaksanya untuk menarik diri.

Kembali ke Sachsenring bersama jentera baharu dan kompetitif Ducati GP23, pelumba Gresini Ducati itu kekal dilabel sebagai pilihan atas segala kejayaan yang diperoleh sebelum ini namun episod 'duka' di Assen, Belanda minggu lalu membuatnya merendah diri.

"Jika saya laju di Sachenring, saya akan berada di tahap yang sama seperti Bagnaia dan Martin, bukannya lebih bagus berbanding mereka," kata Marquez.

"Tetapi, pada sudut yang lain, dan saya bergelut atas apa juga alasan, mereka akan menjadi lebih pantas."

Pada aksi di Assen, tiga pelumba Ducati yang menggunakan jentera spesifikasi terkini Ducati GP24 diketuai Francesco Bagnaia, Jorge Martin dan Enea Bastianini menamatkan perlumbaan di depan Marquez.

Dan pada tahun lalu, dua daripada pelumba itu - Martin dan Pecco muncul juara dan naib juara yang memberikan petanda cabaran untuk menang di Sachsenring memang sukar.

Selepas lapan pusingan MotoGP 2024 berlangsung, Marquez ketika ini menghuni tangga ketiga carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 142 mata.

Pecco dari Ducati Lenovo mengisi tempat kedua dengan 190 mata manakala pelumba Pramac Ducati, Martin mengisi tangga teratas dengan 200 mata.

Selepas GP Jerman 2024, kempen MotoGP berehat hampir sebulan dengan Pusingan 10 dijadual berlangsung di United Kingdom pada 1 awal Ogos depan.