MARC Marquez Sah Dapat Jentera Ducati GP23 Johann Zarco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/14/20231 min read

SEPERTI dijangka, muka baharu dalam kem Ducati, Marc Marquez tidak akan diberikan jentera yang bersaing sengit memburu kejuaraan dunia MotoGP musim 2023 sebaliknya jentera Desmosedici GP23 yang ditunggang Johann Zarco.

Perkembangan itu disahkan sendiri Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna memetik laporan DAZN.

Musim depan, Ducati sekali lagi memiliki lapan jentera di grid MotoGP dengan masing-masing empat daripada spesifikasi terkini GP24 selain GP23.

Pasukan yang menggunakan jentera Desmosedici GP24 adalah pasukan 'Factory' Ducati Lenovo dan Pramac Racing manakala GP23 untuk pasukan VR46 dan Gresini Racing yang dihuni adik beradik Marquez, Marc dan Alex.

"Marc Marquez, seperti semua pasukan yang akan menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP23, akan menggunakan jentera yang digunakan oleh Johann Zarco ketika dia menamatkan musim ini," kata Dall'Igna.

"Pada jentera Pecco Bagnaia, Jorge Martín dan Enea Bastianini, kami memperkenalkan beberapa evolusi tambahan, tetapi ia memberikan kami beberapa masalah, kedua-duanya dari sudut kebolehpercayaan dan prestasi.

"Jadi kami tidak percaya yang evolusi yang kami perkenalkan ini akan mudah digunakan oleh pasukan satelit.

"Jadi, kami memilih untuk tidak meletakkan sesuatu kepada mereka kerana ia boleh mendatangkan masalah.

"Kami akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada diri kami kepada kesemua pelumba yang menunggang jentera Ducati.

"Pada akhirnya, saya mendengar (pandangan) semua pelumba dengan cara yang sama. Saya tidak pernah mendengar kepada seseorang pelumba saja.

"Saya melihatnya sebagai kesilapan kerana apa yang penting adalah untuk meningkatkan prestasi jentera dan saya yakin jika jentera itu mempunyai masalah, sekalipun pelumba 'rasmi' tidak memberitahu saya.

"Saya juga yakin yang jika mereka berjaya menyelesaikan masalah, pelumba pasukan rasmi juga akan mampu menjadi pelumba terpantas di atas litar. Jadi saya sentiasa mendengar semua pandangan pelumba dan akan terus melakukannya."