MARC Marquez Sah Ucap Selamat Tinggal Kepada Repsol Honda MotoGP Penghujung 2023

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/4/20231 min read

MARC Marquez, nama yang cukup sinonim dengan Honda Racing Corporation (HRC) secara rasmi sah meninggalkan pasukan MotoGP Honda sejurus kempen musim ini melabuhkan tirainya.

Mengikut statistik, pelumba bintang kelahiran Sepanyol itu tidak pernah berlumba menggunakan jentera selain Honda dalam kempen elit MotoGP dan mencipta pelbagai rekod kejayaan antaranya memenangi 56 perlumbaan MotoGP secara keseluruhan.

Marquez yang juga pelumba paling tinggi pendapatan di grid MotoGP mempunyai kontrak dengan Honda sehingga penghujung musim 2024.

Antara punca 'perpisahan' itu dikatakan disebabkan jentera MotoGP Honda RCV tidak lagi kompetitif untuk menjuarai perlumbaan dengan Marquez kali terakhir merasai nikmat kemenangan adalah pada musim 2021.

Musim ini, Marquez yang sudah 11 tahun bersama HRC mengisi tangga ke-15 dalam carta kejuaraan dunia dengan pencapaian terbaik di tangga ketiga di Jepun.

Repsol Honda dalam satu kenyataan mengesahkan 'perpisahan' itu yang turut menyaksikan kontrak lumayan empat tahun berakhir.

"Honda Racing Corporation dan Marc Marquez secara bersama bersetuju untuk menamatkan kontrak empat tahun dengan lebih awal pada penghujung musim Kejuaraan Motosikal Dunia MotoGP 2023."

Menurut HRC, kedua-dua pihak bersetuju ia adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak dalam usaha mencapai kejayaan di masa depan bersama sasaran dan matlamat masing-masing.

Selain enam gelaran dunia MotoGP, Marquez juga berjaya memenangi lima gelaran 'Triple Crowns', 101 podium dan 64 petak utama.

Sedikit ironi, meninggalkan Repsol Honda menyaksikan Marquez akan turun pangkat dan dikatakan akan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini.

Begitupun, Marquez dikatakan hanya akan menandatangani kontrak selama setahun bersama Gresini dengan kebanyakan pasukan 'Factory' MotoGP akan memiliki sekurang-kurangnya satu kekosongan tersedia pada musim 2025.