MARC Marquez Sahkan Gelaran Juara Dunia Ke-7 MotoGP Di Motegi
Penamat di tempat kedua di GP Jepun 2025 sudah cukup buat pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez dinobatkan sebagai juara dunia kelas elit MotoGP pada musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/28/20251 min read


MARC Marquez melengkapkan perjalanan ajaib dalam karier gemilangnya apabila mengesahkan gelaran dunia MotoGP 2025 - gelaran dunia kesembilan gelaran elit itu yang diperolehnya di gelanggang yang pernah memberinya tiga gelaran dunia sebelum ini, Twin Ring Motegi.
Dan ironinya, Marquez tidak menjulang gelaran itu bersama Honda tetapi diperoleh bersama jentera Ducati Lenovo.
Sebagai rekod, Marquez menjulang gelaran dunia keenamnya pada 2019 sebelum mengalami kecederaan serius pada lengan kanan di awal musim 2020.
Sejak itu, pelumba kelahiran Sepanyol itu melalui empat pembedahan besar dan dua episod diplopia (penglihatan berganda), selain bergelut dengan jentera Honda yang semakin tidak kompetitif.
Selepas menamatkan hubungan panjang bersama Honda pada penghujung 2023, Marquez menyertai pasukan satelit Gresini Ducati untuk musim 2024 dan kembali menjadi pelumba yang mampu mencabar podium.
Prestasi konsisten itu membuka laluan kepada dinaikkan pangkat ke pasukan 'kilang' Ducati Lenovo untuk musim 2025 dan hasilnya boleh dilihat jelas pada musim ini.
Sepanjang 17 pusingan musim ini, Marquez meraih 11 kemenangan Grand Prix dan 14 kemenangan Sprint, mengumpul kelebihan 201 mata berbanding pencabar terdekatnya yang juga adiknya, Alex Marquez.
Di Motegi, yang memulakan perlumbaan di petak ketiga dan mengekori pelumba KTM, Pedro Acosta selama 10 pusingan sebelum memintas untuk kedudukan kedua.
Dan sekalipun dilihat cuba mencabar kemenangan, ia tidak berhasil dengan kemenangan menjadi milik rakan sepasukan, Francesco Bagnaia, yang bermula dari petak utama dan memimpin perlumbaan dari awal sehingga akhir.
Turut mencetus drama, Bagnaia turut berdepan detik cemas apabila jentera Ducati GP25 miliknya mengeluarkan asap dari bahagian ekzos belakang pada penghujung perlumbaan, namun berjaya mengekalkan ketenangan sehingga ke garisan penamat.
Marquez menamatkan perlumbaan dengan jarak +4.196 saat di belakang Bagnaia tetapi ia cukup untuk mengesahkan kejuaraan dunia.
Marquez kini menyamai rekod Valentino Rossi dengan tujuh gelaran MotoGP dan hanya satu gelaran di belakang pemegang rekod sepanjang zaman, Giacomo Agostini.
