MARC Marquez 'Sedar Diri', Tak Fikir Nak Pecah Rekod MotoGP Vale

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/30/20231 min read

BINTANG MotoGP Honda yang menyertai Ducati musim depan, Marc Marquez mengakui sukar untuk menyamai rekod yang dipegang legenda Itali, Valentino Rossi berdasarkan prestasi semasanya.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu dalam satu temuramah bersama talkSPORT berkata, keupayaannya ketika ini jauh daripada prestasi terbaiknya yang memberikannya enam gelaran dunia MotoGP.

Justeru, dia tidak mampu untuk meletakkan sasaran menambah kejuaraan dunia miliknya pada penampilan sulungnya bersama pasukan satelit Ducati, Gresini Racing pada 2024.

"Ketika ini, saya tidak memikirkan untuk menyamai rekod itu (Vale) kerana saya jauh daripada tahap saya," kata Marquez. "Saya tidak boleh mengharungi musim depan seperti, 'Saya akan cuba memenangi gelaran.'

"Sudah dua tahun saya tidak memenangi sebarang perlumbaan. Jadi dengan statistik itu, kamu tidak boleh mengharungi satu musim ke musim yang lain dengan 'Kini saya akan memenangi kejuaraan.'

"Pertama sekali, saya perlu mengembalikan keyakinan, untuk membina kembali dasar dan kemudian dari dasar itu untuk menjadi lebih laju dan cuba untuk meningkat di masa depan."

Secara keseluruhan, Marquez menjulang lapan gelaran dunia termasuk satu dalam kelas Moto3 (125 cc) dan Moto2 dengan kesemua gelaran MotoGP dijulang bersama pasukan Honda.

Rossi dalam pada itu memiliki sembilan gelaran dunia dalam kabinet trofinya termasuk satu dalam kelas 125 cc dan 250 cc.

Begitupun, pelumba itu memenangi gelaran dunia kelas elit MotoGP bersama dua pengeluar - Honda dan Yamaha sebelum menghabiskan 12 tahun untuk merangkul gelaran dunia ke-10 namun tak berjaya.

Kali terakhir Marquez memenangi gelaran dunia MotoGP adalah pada musim 2019 sebelum dipalit masalah kecederaan selain prestasi jentera Honda yang tak menentu.