'MARC Marquez Sedar Susah Nak Menang Musim Ini'
Kenyataan 'pahit' ini disuarakan Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi yang mengakui juara dunia, Marc Marquez sudah menyedari laluannya untuk mempertahankan gelaran dunia MotoGP pada musim ini akan menjadi jauh lebih sukar
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/3/20261 min read


PENGURUS pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi mengakui juara dunia, Marc Marquez sudah menyedari laluannya untuk mempertahankan gelaran dunia MotoGP pada musim ini akan menjadi jauh lebih sukar dan berliku.
Kenyataan itu hadir susulan episod mengecewakan yang melanda kem Ducati pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2026 di Grand Prix (GP) Thailand hujung minggu lalu, yang menyaksikan tiada seorang pun pelumba pengeluar Itali itu berjaya menaiki podium.
Apa yang pasti, keputusan itu cukup mengejutkan banyak pihak memandangkan Ducati membolot ketiga-tiga kedudukan podium di litar sama pada musim 2025.
Malah, jentera Desmosedici GP26 turut mempamerkan prestasi meyakinkan dan dilihat sukar digugat ketika sesi ujian pramusim di Buriram, seminggu sebelum perlumbaan bermula.
Sebaliknya, perlumbaan sebenar menceritakan skrip berbeza apabila kem Aprilia tampil cemerlang mendominasi saingan dan mengukir senyuman lebar pada aksi sulung musim ini.
"Dia (Marquez) pastinya sedar akan menjadi lebih sukar untuk memenangi kejuaraan tahun ini," kata Tardozzi kepada TNT Sports ketika ditanya mengenai perasaan pelumba Sepanyol itu selepas apa yang berlaku di Buriram.
"Namun, dia menaruh kepercayaan yang sangat tinggi terhadap Gigi (Dall'Igna) dan barisan juruteranya. Sudah tentu dia marah kerana terlepas peluang menaiki podium, kerana dia pasti akan menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat ketiga. Dia sedang merapati (Raul) Fernandez ketika itu."
Tetapi katanya, dia juga yakin yang juara dunia 9 kali itu meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi terhadap bos Ducati Corse, Gigi Dall'Igna dan barisan jurutera pengeluar itu.
"Pada akhirnya, dia percayakan kami dan jentera ini, dan saya rasa keadaan (kecederaan) bahu kanannya juga akan bertambah baik dalam beberapa minggu lagi."
Di Buriram, Marquez yang sedang memburu kedudukan podium terpaksa berdepan hakikat pahit terpaksa menarik diri lebih awal gara-gara masalah rim roda jenteranya yang pecah.
Kmpen di Buriram menjadi mimpi ngeri buat Ducati seorang lagi pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia bergelut dengan prestasi sejak Sabtu manakala dua lagi pelumba yang menggunakan Ducati GP26, Alex Marquez (Gresini Ducati) turut gagal mengutip sebarang mata dan Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati) sekadar di tempat ke-7 sebagai pelumba terbaik Ducati di Buriram.

