MARC Marquez Sedia Hadapi Cabaran 'Gen' Baharu
Jaguh Ducati Lenovo, Marc Marquez menyifatkan kemunculan pelumba generasi baharu sebagai satu proses kitaran semula jadi dalam dunia sukan termasuk di MotoGP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/16/20261 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez menyifatkan kemunculan pelumba generasi baharu sebagai satu proses kitaran semula jadi dalam dunia sukan.
Begitupun, penyandang juara dunia MotoGP itu menegaskan dia tidak sesekali akan menyerah kalah, sebaliknya bertekad untuk bekerja lebih keras demi mempertahankan statusnya.
Pandangan itu disuarakan pelumba berusia 33 tahun itu ketika dia menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Catalunya, minggu lalu.
Ketika ditanya mengenai impak yang hadir daripada barisan bintang muda yang sedang melonjak naik di pentas MotoGP ketika ini, Marquez berkata ia adalah kitaran yang biasa.
"Kadang-kadang adalah lebih baik untuk kita menerimanya. Terimalah hakikat bahawa pelumba muda seperti Pedro Acosta dan Fermin Aldeguer, yang 10 hingga 12 tahun lebih muda akan tiba.
"Mereka hadir dengan keazaman serta tahap tenaga yang berbeza. Ini adalah proses semula jadi bagi seorang atlet," kata Marquez memetik laporan Sky Italia di Barcelona.
Begitupun, jaguh kelahiran Sepanyol itu memberi amaran kematangan dan pengalaman mengajarnya untuk tidak mudah mengibarkan bendera putih.
"Perkara ini (peningkatan usia) berlaku kepada semua orang. Jadi, apa yang saya lakukan adalah terus bekerja lebih keras untuk memastikan diri saya kekal sukar ditewaskan, walaupun oleh kelompok pelumba muda ini."
Ketegasan Marquez bukan sekadar omong kosong namun dibuktikannya pada saingan Hungary baru-baru ini apabila dia cemerlang melakar kemenangan berganda, bermula dari petak pertama biarpun ia hanyalah penampilan keduanya selepas menjalani pembedahan bahu bagi merawat masalah saraf.
Lebih dramatik, Acosta dan Aldeguer turut memulakan perlumbaan di barisan hadapan bersama Marquez dalam perlumbaan dengan Acosta muncul sebagai pencabar tunggal yang memberikan tentangan sengit kepadanya dalam kedua-dua perlumbaan.
Menjelang perlumbaan di Litar Brno hujung minggu ini, tumpuan pemerhati kini terarah kepada sejauh mana tahap pemulihan fizikal juara bertahan itu namun Marquez pantas memberi isyarat positif kepada para pencabarnya.
"Saya berasa lebih baik berbanding hujung minggu lalu. Kemenangan amat bagus untuk tubuh badan, ia menyuntik tenaga yang positif. Menjelang cuti musim panas nanti, kami akan cuba mengambil langkah ke hadapan," katanya.
Aksi di Brno merupakan pusingan pertama daripada tiga siri perlumbaan terakhir sebelum kejuaraan MotoGP berehat seketika untuk tempoh cuti musim panas yang disifatkan cukup kritikal bagi kelangsungan fizikal dan mental para pelumba.

