MARC Marquez Sedia Harungi Cabaran Sukar Di Silverstone
Rehat musim panas selama empat minggu dimanfaatkan sepenuhnya sensasi Ducati Lenovo, Marc Marquez untuk bersedia menghadapi Grand Prix (GP) British hujung minggu ini yang disifatkannya antara venue paling mencabar fizikal musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/6/20261 min read


REHAT panjang selama empat minggu sempena cuti musim panas dimanfaatkan sepenuhnya sensasi Ducati Lenovo, Marc Marquez untuk bersedia menghadapi Grand Prix (GP) British hujung minggu ini yang disifatkannya antara venue paling mencabar fizikal musim ini.
Sedar dengan cabaran ekstrem yang bakal menantinya di Litar Silverstone, pelumba Sepanyol itu menegaskan dia menggunakan tempoh rehat yang diperoleh untuk merancang persiapan rapi.
"Saya menggunakan masa rehat tiga minggu ini untuk berehat seketika, tetapi pada masa sama mengecas semula tenaga dan terus mengekalkan rutin latihan saya," katanya.
Apa yang pasti, motivasi penyandang juara dunia MotoGP itu pastinya memuncak selepas memenangi tiga daripada empat perlumbaan terakhir, sekali gus merapatkan jurang kepada hanya 18 mata daripada pendahulu kejuaraan Jorge Martin berbanding defisit lebih 100 mata selepas GP Itali.
"Jerman adalah hujung minggu yang sempurna di mana kami berjaya memanfaatkan setiap peluang dan meraih mata maksimum untuk naik ke tempat ketiga kejuaraan," kata Marquez.
"Silverstone adalah litar yang panjang dan amat menuntut kekuatan fizikal yang tinggi, ditambah pula dengan faktor cuaca yang sentiasa tidak menentu di mana ia boleh mengubah keseluruhan corak perlumbaan," katanya.
Daripada semua litar berbaki dalam kalendar musim ini, Silverstone dilihat paling mirip dengan Litar Assen di GP Belanda yang memiliki banyak selekoh pantas dan pertukaran arah berkelajuan tinggi, sekali gus menjadi satu-satunya perlumbaan (dalam empat aksi terakhir) yang gagal dimenangi Marquez selepas sekadar menduduki tempat ketujuh.
Di GP Belanda, keadaan susun atur Assen memberi kesan kepada fizikal Marquez terutamanya pada masalah kecederaan bahunya, sehingga memaksanya mengambil pendekatan berhati-hati untuk sekadar menamatkan perlumbaan berbanding menunggang agresif yang boleh mengundang risiko kemalangan.

