MARC Marquez Sedia Kembali 'Mengaum' Di Aragon
Prestasi hambar Marc Marquez di GP British yang didominasi jentera Aprilia menyaksikan pelumba Sepanyol itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-9 dan ke-7 sekali gus direkod sebagai pencapaian terburuknya sejak menjalani pembedahan bahu pada Mei
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/27/20261 min read


JAGUH Ducati Lenovo, Marc Marquez melaungkan keyakinan untuk kembali memberikan saingan di kelompok depan ketika kempen MotoGP kembali bersambung di Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini, selepas mengharungi detik sukar di Silverstone.
Prestasi hambar di GP British yang didominasi jentera Aprilia itu menyaksikan pelumba Sepanyol itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-9 dan ke-7 sekali gus direkod sebagai pencapaian terburuknya sejak menjalani pembedahan bahu pada Mei lalu.
Keputusan mengecewakan itu turut memberi tamparan hebat buat Marquez apabila dia kini tercicir 40 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Aprilia dengan situasi itu mendesaknya untuk memburu mata berharga di litar yang lebih memberi kelebihan kepada jentera Ducati Desmosedici GP-26.
Sebagai info, litar Aragon yang berkarakter melawan arah jam sememangnya diketahui sangat serasi dengan gaya tunggangan agresif Marquez.
"Saya sudah melakar banyak kejayaan di Aragon sebelum ini, terutamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini ketika menunggang jentera Ducati," kata Marquez. "Ia adalah litar yang sangat menonjolkan karakter saya, selain mampu memaksimumkan potensi sebenar jentera kami.
"Jika dibandingkan ketika di Silverstone, ditambah pula dengan dua minggu tempoh pemulihan tambahan, saya sangat yakin kami akan berada lebih dekat dengan kelompok pendahulu kali ini. Kami sudah bersedia untuk berjuang merebut kedudukan podium, baik dalam aksi Sprint mahupun perlumbaan utama pada hari Ahad," katanya.
Atas kertas, penyandang juara dunia itu turun sebagai pilihan utama menjelang perlumbaan di halaman sendiri itu, lebih-lebih lagi berbekalkan rekod kebal tanpa kalah dalam empat perlumbaan terakhir di Aragon.
Sejarah turut membuktikan betapa Aragon adalah gelanggang 'bertuah' Marquez kerana selain merangkul 5 kemenangan bersama Repsol Honda, dua turut mencetuskan fenomena apabila meraih kemenangan berganda bersama Gresini Ducati pada 2025.
Malah, kejayaan cemerlang bersama pasukan Ducati Lenovo di litar sama tahun lalu menjadi titik tolak kepada rentetan 15 kemenangan berturut-turut, yang akhirnya menobatkan Marquez sebagai juara dunia buat kali ke-9.

