MARC Marquez Sifatkan Peluang Julang Gelaran Dunia Di Qatar 'Jauh'

Bintang Sepanyol, Marc Marquez memiliki peluang pertama untuk mengesahkan gelaran dunia MotoGP ke-8 di Qatar jika dia berjaya menambah kelebihannya ke atas dua bintang Aprilia, Jorge Martin dengan 30 mata, dan Marco Bezzecchi dengan 8 mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/7/20261 min read

PELUMBA sensasi Ducati Lenovo, Marc Marquez menyifatkan peluang untuk merangkul kejuaraan dunia MotoGP 2026 di Grand Prix (GP) Qatar hujung minggu ini 'masih jauh' berikutan persaingan kompetitif dipamerkan oleh barisan pencabarnya pada hari pertama kempen di Lusail.

Bintang Sepanyol itu memiliki peluang pertama untuk mengesahkan gelaran dunia MotoGP ke-8 di Qatar jika dia berjaya menambah kelebihannya ke atas dua bintang Aprilia, Jorge Martin dengan 30 mata, dan Marco Bezzecchi dengan 8 mata.

Tetapi misi itu jelas bukan tugas mudah buat Marquez apabila Bezzecchi mempamerkan rentak tunggangan yang cemerlang manakala pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio turut pula mendominasi sesi Latihan dengan rekod sepusingan baharu.

Jadi meskipun berjaya menamatkan sesi Latihan di kedudukan ke-2 terpantas, Marquez mengakui dia bakal berdepan 'hujung minggu yang rumit'.

"Kejuaraan masih belum dimuktamadkan. Maksud saya, saya masih merasakan ia (kejuaraan) masih jauh, terutamanya kerana Bezzecchi seperti yang kita lihat, sedang menekan dan menunggang dengan sangat baik," kata Marquez memetik laporan media antarabangsa.

"Dia (Bezzecchi) tiada sebarang kerugian; dia akan terus menekan sepanjang hujung minggu ini, manakala Martin walaupun mengalami kecederaan, dia juga masih menunggang dengan baik."

Bagi memastikan fokus pasukannya tidak terganggu dengan tekanan perebutan kejuaraan, Marquez menegaskan mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada strateginya dan melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

Aksi hari pembukaan Marquez juga tidak berjalan lancar sepenuhnya apabila dia berdepan masalah teknikal apabila rantai jenteranya putus namun enggan mendedahkan punca sebenar insiden terbabit.

"Perkara positifnya ialah ia berlaku semasa sesi Latihan dan saya percaya pihak Ducati akan menilai serta menyelesaikannya untuk baki saingan hujung minggu ini, jadi kita perlu kaji untuk hari esok sama ada kita boleh perbaiki di beberapa bahagian," katanya.